SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan beliau menerima laporan mengenai aktiviti calon parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dipercayai memberi rasuah kepada pengundi dalam bentuk wang.
Ujar beliau, laporan tersebut dibuat oleh dua calon Barisan Nasional (BN) dan dari pihak yang dikenali sebagai ‘friends of BN’.
Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan individu yang melakukan perbuatan berkenaan kerana sedang mengumpul bukti dan maklumat.
"Semalam saya diberitahu oleh dua calon BN berlaku (rasuah) dalam kawasannya. Ada satu parti memberikan RM50 untuk satu DUN dan satu lagi parti memberikan RM100 di DUN lain.
"Kemudian pagi ini saya sebut, oleh presiden parti ‘friends of BN’ membabitkan RM300 di satu DUN yang lain tetapi perkara ini bukan parti kami yang buat. Ini parti lain,” katanya dalam sebuah program siaran langsung dalam Facebook Kosmo Online pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad menyatakan kekesalannya dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan memantau perkara tersebut.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlui memantau perkara begini dan kepada mereka yang tidak suka perkara ini berlaku, saya harap mereka tampil dan mengumumkan perkara itu bersama bukti supaya perkara ini dihentikan.
"Saya harap laporan ini disertakan dengan bukti. Kita ingin menghentikan pembelian undi menggunakan duit seumpama ini,” ujarnya.