Mayat lelaki ditemui di air terjun Bukit Larut

Iklan
Polis telah mendapatkan khidmat anggota bomba untuk membawa turun mayat mangsa.

TAIPING - Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan kecederaan ditemui di kawasan takungan air terjun lama di Bukit Larut di sini pada Selasa.

Penemuan mangsa, S Jagenrau, 35, beralamat dari Kati, Kuala Kangsar itu disedari orang awam sekitar jam 4.30 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan memakai seluar pendek berwarna coklat bersama sebuah beg sandang yang mengandungi barangan peribadi.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa telah menjumpai kesan kecederaan koyak di bahagian kanan kepala dan cuping telinga, paha kaki sebelah kiri mangsa juga patah.

Iklan

"Ketika ditemui, keadaan kepala mangsa terendam dalam air dan terdapat batu besar di bahagian belakang mangsa.

"Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang tanda-tanda berunsurkan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, polis telah mendapatkan khidmat anggota bomba untuk membawa turun mayat mangsa ke jalan utama.

Katanya, keadaan lokasi kejadian agak berbukit dan kedudukannya dari jalan utama berada lebih kurang 350 meter.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. Siasatan masih diteruskan bagi mengesan waris mangsa dan punca kejadian," katanya.