SHAH ALAM - Kali terakhir pesawat pejuang dua tempat duduk jenis Hawk 108 M40-02 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas ialah pada tahun 2017.
Pesawat itu terhempas di Chukai, Terengganu pada 15 Jun sehingga mengorbankan dua juruterbang iaitu Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, yang sedang melakukan latihan penerbangan menggunakan pesawat tersebut ketika kejadian berlaku.
Mereka dilaporkan berlepas dari pangkalan itu pada 11 pagi sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan 30 minit kemudian dan mayat mereka ditemukan di kawasan hutan di Chukai sekitar 2.30 petang hari sama.
Pasukan siasatan khas yang ditubuhkan ekoran kejadian itu mendapati masalah teknikal berkaitan rangka sawat disahkan sebagai punca nahas.
Difahamkan, Hawk mula bersama TUDM sejak 1996. Ia adalah pesawat latihan lanjutan dan pesawat pejuang ringan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TUDM terhempas
Kali terakhir pesawat Hawk Mk 108 terhempas pada 2017
Pesawat TUDM terhempas: Seorang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin
Identiti mangsa pesawat TUDM terhempas dikenal pasti
Berdasarkan rekod kejadian yang pernah berlaku melibatkan pesawat itu ialah pada 31 Mei 2006 apabila seorang juruterbang TUDM hilang ketika melakukan sesi latihan peperangan selepas jet pejuang Hawk 100 dipandunya terhempas di kawasan berpaya di Endau, dekat Rompin, Kuantan.
Pada 23 Jun 2005, seorang juruterbang TUDM yang baru melangsungkan majlis persandingannya, sebelum nahas, terbunuh apabila pesawat Hawk Mk208 terhempas dalam belukar berhampiran Kampung Kerupang di utara Lapangan Terbang Labuan.
Pada 18 Disember 2003, dua juruterbang pesawat Hawk 100 terbunuh selepas pesawat mereka terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan.
Sementara itu, pada 4 September 2002, pesawat pejuang Hawk MK208 TUDM, terhempas ketika melakukan latihan di ruang udara Pulau Tioman, Pahang.
Bagaimanapun juruterbangnya, Kapten S Nadzeer Sallehudin, 31, berjaya menyelamatkan diri dengan menekan butang kerusi anjal.
Peristiwa 19 Mac 2002 pula melibatkan seorang anggota kejuruteraan TUDM Butterworth, Pulau Pinang, Laskar Udara Kanan (LUK) Shawn Cristopher Chew, 25, terbunuh apabila kerusi anjal sebuah jet pejuang Hawk 108 tiba-tiba melantun selain menyebabkan enam lagi melecur terkena api roket.
Pada 10 September 1998, sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 Skuadron Ke-6 dari pangkalan TUDM Kuantan terhempas di Kampung Kuala Betis, kira-kira 30 kilometer dari Gua Musang menyebabkan juruterbangnya, Kapten Jaidev Biaspal a/l Basdav Biaspal, terkorban.
Kejadian 18 Jun 1996 menyaksikan sebuah pesawat Hawk 100 milik TUDM berkecai setelah terhempas dalam kawasan sawah berhampiran pangkalannya di Butterworth.
Juruterbang yang terbabit dikenali sebagai Lt Kol Roshaimi Zakaria dan Kapten K Chandran, bagaimanapun selamat keluar menggunakan kerusi anjal.