BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Bunyi deruan pesawat yang luar daripada kebiasaan dan diikuti dengan dentuman kuat mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan Pangkalan Udara (TUDM) Butterworth, di sini pada malam Selasa.
Peniaga, Mastura Mohammad Nordin, 44 berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.07 malam itu membuatkan dia meluru melihat apa yang berlaku di landasan Pangkalan TUDM yang tidak jauh dari gerainya di Kampung Benggali, Sungai Puyu, di sini.
Menurutnya, selepas mendengar dentuman kuat sebanyak dua kali dia melihat pesawat terbakar di atas landasan.
"Saya memang dah biasa dengan bunyi pesawat tetapi kali ini memang lain.
"Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas," katanya ketika ditemui media berhampiran lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TUDM terhempas
Kali terakhir pesawat Hawk Mk 108 terhempas pada 2017
Pesawat TUDM terhempas: Seorang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin
Identiti mangsa pesawat TUDM terhempas dikenal pasti
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk MK108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth di sini.
Dalam satu kenyataannya, TUDM berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 10.07 malam, Selasa.
Kapten Mohamad Affendi Bustamy disahkan meninggal dunia dalam nahas berkenaan, manakala Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan mengalami kecederan berada dalam keadaan selamat dan stabil dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya.
TUDM berkata, jenazah Mohamad Affendi sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya.