BELIAU merupakan calon termuda dalam pertembungan empat penjuru bagi mendapatkan mandat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Namun, calon Perikatan Nasional (PN), Mohammad Al-Afiz Yahya menyifatkan ia satu kelebihan dalam agenda beliau membawa suara anak muda di samping memastikan kesejahteraan masyarakat DUN Bukit Katil secara keseluruhannya.
Ikuti temubual bersama Wartawan Sinar Harian, Nurhidayah Hairom bersama Ketua Pemuda Pas Melaka ini bagi menghayati matlamat dan agenda yang ingin dibawanya.
SINAR HARIAN: Bagaimana pergerakan kempen yang dilakukan anda bagi meraih undi masyarakat DUN Bukit Katil?
MOHAMMAD AL-AFIZ: Alhamdulillah, lebih 80 peratus kaedah kempen menggunakan medium media sosial sepenuhnya. Saya harap ia sampai kepada pengundi-pengundi muda yang bergerak aktif dalam media sosial. Saya sendiri sebagai orang muda yakin dan pasti penduduk Bukit Katil berbeza dari kawasan lain. Kebanyakan mereka penjawat awam, pekerja swasta dan mempunyai latar belakang profesional dan merupakan masyarakat yang berdaya saing dengan kadar pengundi lebih 25,000.
Bagaimana perkembangan dan maklum balas daripada pengundi setakat ini?
Mereka mahu lihat pemimpin yang berintegriti, bebas rasuah, tidak mengamalkan kronisme dan mempunyai wajah baharu yang bersih untuk ditonjolkan kepada masyarakat. Mereka kecewa dengan politik semasa yang melihat kepentingan peribadi, politik lompat melompat, isu rebut pasir dan sebagainya. Mereka mahu kepimpinan yang mementingkan rakyat melebihi kepentingan diri. Mereka mahu wajah baharu yang boleh membawa perubahan kepada negeri Melaka. Pengundi muda terdiri mewakili 30 peratus daripada jumlah keseluruhan, jika undi orang lama 20 peratus, penentunya adalah pengundi muda.
Komen mengenai persaingan untuk kerusi DUN Bukit Katil yang turut membariskan calon Ketua Menteri Melaka daripada Pakatan Harapan, Adly Zahari.
Ini persaingan yang sihat tetapi kita perlu faham dan jelas beliau telah bersama Pas lebih 30 tahun. Bagaimana beliau menonjol, siapa yang menggilap dan membawa beliau sehingga menjadi Pesuruhjaya Pas Melaka. Tanpa Pas, beliau tidak berada dalam parti dengan apa yang ada sekarang. Rakyat kena sedar dan tahu bagaimana ketokohan itu dibina, bersama siapa di belakangnya. Saya juga daripada Pas dan tidak mustahil parti ini menjadi satu tempat cetakan yang sama untuk melahirkan kepimpinan yang berkualiti. Corak kepimpinan ini telah terbukti di Kelantan setelah Pas memerintah selama 40 tahun, tidak ada satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terpalit dengan rasuah.
Untuk pembangunan anak muda yang holistik, saya bercadang menubuhkan pusat keusahawanan muda. Bukit Katil adalah kawasan yang padat, pembangunan yang pesat dan majoriti penduduk bersaing di kawasan tersebut. Kita tidak mahu ada golongan muda dan masyarakat yang tertinggal dalam pesaingan ini untuk menjana ekonomi. Jadi, melalui inisiatif itu, anak muda diberi bimbingan dan latihan dalam menguruskan perniagaan. Pusat ini akan memandu mereka ke arah keusahawanan untuk dicapai hingga ke peringkat global. Mereka akan dibantu dari segi modul, kertas kerja dan sebagainya.
Seperkara lagi, Bukit Katil tidak terkecuali daripada terkesan disebabkan banjir sehingga empat kali setahun. Penduduk kecewa dengan keadaan ini. Saya sendiri pernah terlibat menjadi sukarelawan bersama pasukan Pertubuhan Amal Prihatin Melaka, membantu mangsa banjir bersihkan rumah. Mereka mengeluh kenapa masalah masih tidak selesai walaupun kerajaan sudah banyak kali bertukar. Saya akan merujuk masalah ini ke Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang. Jika saya tidak diberikan ruang dan peluang, bagaimana saya hendak bawa suara mereka ke tempat yang sepatutnya. Saya mahu bawa isu ke Dewan Rakyat, kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat bagi menyelesaikan masalah ini.
Apakah konsep kepimpinan atau tema yang mahu dibawakan dalam PRN ini?
Saya menekankan tema ‘Connecting Bukit Katil’ yang bermaksud, sebagai satu agenda untuk menghubungkan seluruh warga DUN di semua peringkat umur, bangsa, keturunan, agar semua menjadi satu hati dan sama-sama mengambil berat memastikan tiada yang terabai. Saya akan menjadi medium penghubung kepada mereka. Segala masalah akan dihubungkan satu sama lain bagi membangunkan Bukit Katil dan negeri Melaka amnya.
Apa yang pengundi perlu tahu tentang anda untuk memilih sebagai ADUN?
Saya merupakan graduan dari Maahad Azhar, Mesir dan seorang usahawan. Saya mulakan perniagaan dari bawah dan saya mahu jadikan pengalaman ini sebagai panduan untuk bawa kemajuan bersama masyarakat. Saya mahu menjadi contoh seorang usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan. Banyak skop bidang yang saya pelajari bagi membina karektor dan karier dalam kehidupan.
Nama: Muhammad Al-Afiz Yahya
Umur: 33 tahun
Asal: Melaka
Pendidikan:
- Maahad Azhar, Mesir (2009-2012)
- Pondok Baitul Qurro Wal Fuqoha, Sungai Udang Melaka (2008-2009)
Jawatan:
- Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (2021-2023)
- Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (2019-2021)