KOTA BELUD - Keputusan Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan beberapa wakil rakyat bekas UMNO dan parti lain di negeri ini ke dalam parti itu, hanya membabitkan mereka yang telus berjuang demi kepentingan rakyat.
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui, memang ada wakil rakyat dan pemimpin yang keluar UMNO dan parti lain ingin memohon menyertai Warisan.
"Kami berhati-hati memilih dan menilai yang mana boleh diterima iaitu hanya mereka yang betul-betul berjuang untuk rakyat, dan bukannya atas faktor jawatan serta projek.
"Ini sejajar dengan kehendak rakyat ketika memilih Warisan pada pilihan raya umum yang lepas, yang mahukan perubahan dalam kerajaan negeri Sabah dilakukan," katanya pada Majlis Ketua Menteri Sabah Bersama Masyarakat Tempasuk di sini, hari ini.
Pada majlis itu Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah, turut menerima borang permohonan menyertai Warisan antaranya bekas Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip, bekas Pengarah Jabatan Kastam Negeri Sabah Datuk Hamzah Sundang dan bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Datuk Mastor Samin. Mohd Shafie berkata, budaya berjuang politik untuk kepentingan jawatan dalam Warisan dihapuskan dalam parti itu, termasuklah membabitkan pertalian keluarga.
Menurutnya Warisan telus dalam perjuangan memenuhi kehendak rakyat termasuk menangani ketirisan yang menyumbang kepada budaya amalan rasuah.
Sementara itu, mengenai penyertaan ADUN Tempasuk Datuk Musbah Jamli ke dalam Warisan, Mohd Shafie berkata Warisan membuat keputusan menerima Musbah atas faktor beliau membuat keputusan itu untuk kepentingan rakyat di kawasannya.
"Warisan mengutamakan pemimpin berjiwa rakyat dan ini menjadi pertimbangan kita menerima Musbah bersama dengan Warisan," katanya.
Musbah antara enam ADUN bekas UMNO menyertai Warisan, selain Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu), Jamawi Ja’afar (Kemabong), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau) dan Datuk Osman Jamal (Balung).
Minggu lepas, ADUN Tandek Datuk Anita Baranting yang juga Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah menyertai Warisan.