PENINGKATAN kes pelantikan talian voltan tinggi akibat kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada tujuh kali ganda dalam tempoh 10 bulan tahun ini sekali gus membimbangkan syarikat utiliti negara itu.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, pada tahun lalu, hanya satu kes pelantikan dicatatkan, namun sehingga bulan Oktober tahun ini, kes berkenaan melonjak kepada lapan kes.
"Kami khuatir jika ada lagi pemaju yang masih mengingkari nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB, kes pelantikan tahun ini kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada tahun 2018 dengan 18 kes, ” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Husaini berkata, kes pelantikan bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, malah mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan sistem Grid nasional yang menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, termasuk operasi sektor perindustrian dan perdagangan.
Beliau berkata, bagi menangani isu itu, TNB telah mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenal pasti projek tanpa kelulusan dan membuat rondaan sepanjang talian bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.
"Sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara serta meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB,” katanya.
Tambahnya, lebar rentis menara talian penghantaran adalah antara 20 meter ke 35 meter dari garisan tengah talian ke arah kiri dan kanan talian.
"Sebarang projek pembangunan hendaklah diawasi oleh Jurutera Kompeten Suruhanjaya Tenaga dan Pegawai Keselamatan,” katanya.
Katanya, di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan berkemungkinan mengganggu pepasangan elektrik tersebut atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Husaini berkata, antara aktiviti yang tidak dibenarkan di kawasan rentis dan berhampiran termasuk permainan, rekreasi, riadah dan sukan seperti joging, bermain layang-layang, memancing atau alat permainan kawalan jauh seperti dron.
"Begitu juga aktiviti menggunakan kren atau jentera berat untuk kerja-kerja pembinaan serta kerja-kerja mengambil, menambak, memotong dan membuang tanah. Aktiviti berlindung dan berteduh semasa cuaca buruk seperti petir, angin ribut dan hujan juga tidak dibenarkan,” katanya.
Selain itu, aktiviti lain yang tidak dibenarkan ialah melakukan pembakaran secara terbuka, membuang sampah dan tempat menyimpan barang-barang, membina kolam dan mengorek lombong atau melebarkan serta pendalaman sungai.
"Begitu juga aktiviti memasang tiang bendera dan membina struktur melebihi enam kaki dan membawa galah aluminium dengan kaedah secara menegak melintasi talian penghantaran voltan tinggi.
"Malah, aktiviti membina dan menanam tapak semaian, tanaman kontan serta tanaman melebihi enam kaki juga tidak dibenarkan," katanya.
Sekiranya terdapat insiden pencerobohan atau sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.