KUALA LUMPUR - Sebanyak 16 notis kompaun atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Ops Belang yang dilaksanakan di sekitar kawasan Jalan Kuching dan Jalan Genting Klang, di sini pada Selasa.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, DBKL berkata, tindakan tersebut diambil di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Katanya, sebanyak 94 kenderaan juga telah diperiksa dalam operasi itu yang turut disertai oleh agensi-agensi sahabat DBKL.
"Ops Belang merupakan gabungan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi sahabat melibatkan kenderaan persendirian atau perdagangan yang melakukan kesalahan am trafik, halangan lalu lintas, tahap kebersihan kenderaan dan permit kebenaran mengangkut bahan di sekitar Kuala Lumpur," kata kemas kini itu pada Rabu.
Antara agensi sahabat DBKL yang turut sama dalam Ops Belang itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dalam perkembangan sama, DBKL berkata, PDRM dan JAS turut mengeluarkan sebanyak 40 notis kompaun atas pelbagai kesalahan kepada pemilik kenderaan yang didapati melakukan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing.
"Tindakan penguatkuasaan ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan peruntukan undang-undang dikuatkuasakan DBKL dan agensi terlibat," katanya.