DUNGUN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan tuduhan kononnya kerjasama UMNO-Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban jika berjaya membentuk kerajaan adalah satu kenyataan prejudis dan terdesak.
Bekas menteri besar yang lebih dikenali sebagai Mat Said itu berkata, tuduhan yang dikeluarkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkenaan jelas menunjukkan DAP dan PH sekarang berada dalam ketakutan.
Katanya, ia kerana sejak mengambil alih pemerintahan negara bermula 10 bulan lalu, masa depan negara dilihat semakin gelap.
"Tuduhan itu tak betul, kita tak pernah jadi serupa Taliban. Ini merupakan satu pandangan prejudis, buruk sangka dan menggambarkan seolah-olah kita orang Islam ini satu bangsa yang menghancurkan orang lain.
"Selama ini terbukti semasa orang Melayu berkuasa kita tidak pernah menganaktirikan orang lain. Tak pernah kita menghina dan menzalimi orang lain," katanya selepas merasmikan persidangan berkelompok cawangan, wanita, pemuda dan puteri UMNO Bahagian Dungun, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, sebenarnya DAP dan PH takut akan perpaduan Melayu Islam akan menghancurkan cita-cita mereka untuk terus memerintah meskipun banyak kepincangan kerajaan ketika ini.
"Sebenarnya dia (DAP) yang rasis, kita (UMNO-Pas) tak pernah rasis. Kita boleh toleransi dengan siapa-siapa sahaja. Sebab itu sebagai contoh MIC, berapa ahli MIC ada? Majoriti pengundi Melayu yang sokong sebab mereka komponen BN. Begitu juga dengan MCA.
"Ia bermakna kita bukan rasis dan terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri perkara itu," katanya yang juga ADUN Kijal.
Kor Ming dalam kenyataannya yang disiarkan sebuah protal berita mendakwa kerjasama UMNO-Pas akan memecah-belahkan rakyat serta menjadikan negara seperti diperintah oleh Taliban.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pemimpin DAP tersebut menghadiri aktiviti sempena sambutan Hari Wanita di Kampung Aulong, Taiping, Perak, kelmarin.
Kor Ming antara lain dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan UMNO-Pas merupakan satu senario 'tiada patah balik' serta menyebabkan rakyat menderita, justeru menggesa golongan berfikiran sederhana untuk bersatu menghalakan pemerintahan negara ke arah pendekatan sederhana dan bukan ekstrim.