CANBERRA - Empat sekeluarga berjaya diselamatkan selepas lima hari terkandas di pedalaman Australia.
Keluarga Zavros diselamatkan pada petang Selasa menggunakan helikopter penyelamat dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Ori dan Lindsey Zavros serta dua anak mereka, Zane dan Zoe, terkandas di Gurun Simpson di pedalaman Australia Selatan sejak hari Jumaat apabila van kembara mereka terbenam dalam lumpur berikutan hujan lebat.
Sebaik sahaja tiba di Coober Pedy, sebuah bandar perlombongan 850km ke utara Adelaide, Ori Zavros berkata keluarganya"selamat".
"Ia agak sukar tetapi kami berjaya melaluinya.
"Kami bimbang akan terperangkap di sana selama beberapa minggu dalam keadaan cuaca panas," lapor Xinhua memetik Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Keluarga itu mengembara ke seluruh Australia dengan van kembara mereka apabila terkandas pada Jumaat.
Mereka segera mengaktifkan suar kecemasan, yang mendorong pihak berkuasa untuk bertindak.
Sebuah penerbangan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menemui kenderaan yang tersangkut itu pada Jumaat dan menggugurkan telefon satelit dan bekalan makanan kepada mereka.
Bagaimanapun, cuaca buruk dan banjir di kawasan itu melambatkan usaha menyelamat.
Polis berkata, kenderaan keluarga itu ditinggalkan di lokasi kejadian. - Bernama