ALOR SETAR - Lima projek menaik taraf loji rawatan air (LRA) di Kedah mengalami kelewatan disebabkan oleh birokrasi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, ia susulan tindakan kerajaan PH ketika itu melewatkan pelaksanaan projek malah membatalkan projek berkenaan.
Menurutnya, ini menyebabkan projek yang dirancang sekian lama itu tidak dapat dilaksanakan seterusnya mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung beban berterusan akibat masalah bekalan air.
"Ini perlu diberitahu, kenapa ia lewat? Ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 'sebelah sana' bertanya sedangkan ketika itu mereka adalah kerajaan yang bertindak melewatkan malah membatalkan projek itu. Jika tidak, projek tersebut sudah dapat dilakukan serahan pada tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) berkaitan usaha bagi memastikan lima LRA dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Rabu.
Suraya berkata, setelah Kedah diterajui Perikatan Nasional (PN), pelbagai penambahbaikan dilakukan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
"Untuk pastikan lima LRA ini berjalan lancar, satu pasukan khas dilantik oleh kerajaan negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau pelaksanaannya.
"Langkah lain termasuk, memohon kepada JKR untuk mendahulukan beberapa skop untuk semua projek dan meminta kontraktor meneliti keperluan terbabit. Contohnya LRA Jenun Pelubang khusus untuk bekalan air kawasan kritikal seperti di Kuala Kedah dan Jerlun,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya kesemua projek akan lebih lancar bermula bulan ini termasuk kerja-kerja pengambilan tanah terlibat yang turut mengalami kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
"Kami berusaha sebaik mungkin percepatkan semula projek, pinjaman pun tak apalah asalkan boleh diteruskan. Kita berani untuk mulakan dahulu projek untuk kemudahan rakyat. Pinjaman itu bermula Jun 2021 baru ditukar kepada geran,” katanya lagi.
Suraya turut memaklumkan, susulan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembiayaan empat projek menaik taraf LRA secara geran, iaitu LRA Jenun Baru dengan kos siling RM161.98 juta, LRA Bukit Selambau (RM147.78 juta), LRA Sungai Limau (RM108.40 juta) dan LRA Lubuk Buntar (RM57.42 juta).
"Bagi LRA Jenun Pelubang, pinjaman yang akan diluluskan adalah berdasarkan koş siling projek sebanyak RM455.98 juta,” katanya.
Menurutnya, peruntukan yang diterima oleh kerajaan negeri berdasarkan jumlah tuntutan bagi pelaksanaan projek yang diluluskan Kementerian Kewangan Malaysia adalah sebanyak RM24,696,655.
Suraya berkata, jumlah peruntukan bagi tujuan pengambilan balik tanah untuk kesemua LRA adalah sebanyak RM48.82 juta.