Jakim tolak sebarang usaha iktiraf LGBT

Iklan
Jakim

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perkara itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara jelas mengatakan Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di Barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis.

Iklan
Iklan

"Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT di negara ini.

"Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam. Demokrasi tidak bermaksud semua orang boleh buat apa yang disukainya, lebih-lebih lagi apa yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan serta pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Mengulas mengenai sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur menyokong golongan LGBT, Mohamad Nordin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tersebut.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT menyertai perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Perhimpunan itu difahamkan tidak mendapat kebenaran pihak polis. -Bernama