SHAH ALAM - Penduduk di Selangor dilanda kerisauan apabila bekalan minyak peket bersaiz satu kilogram (kg) dilihat berkurangan sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 30 di sini pada Rabu mendapati bekalan minyak peket di kedai runcit sukar didapati kerana sering kehabisan stok.
Hasil tinjauan juga mendapati terdapat pasar raya yang menghadkan pembelian minyak peket kepada tiga peket dalam satu transaksi pembelian.
Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30 di sini, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, premisnya mula terputus bekalan minyak peket sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, apabila bertanya kepada pembekal, pihak terbabit berkata terdapat kerosakan pada mesin di kilang menyebabkan bekalan minyak tersebut terputus.
"Kami cuba dapatkan bekalan dari tempat lain iaitu di Pasar Besar Klang, itupun tidak dapat banyak. Hanya sekotak yang mengandungi 17 peket minyak sahaja sehari.
"Tapi saya tidak naikkan harga, malah menjualnya pada harga runcit iaitu RM2.50 sepeket tanpa mengambil sebarang untung,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Salah seorang peniaga ayam goreng di sini, Wan Nurain Wan Mohd Nizam berkata, 19, dia menyedari kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak peket sejak dua minggu lalu.
Katanya, dia terpaksa pergi ke empat buah kedai runcit di kawasan sekitar untuk mendapatkan barangan bersubsidi itu.
"Saya terpaksa pergi sehingga empat kedai runcit di sini bagi mendapatkan bekalan minyak peket.
"Walaupun bekalan di kedai tidak banyak, tapi saya lihat peruncit tidak menaikkan harga barangan tersebut,” katanya.
Bagi peniaga pisang goreng, Nasofa Adnan, 51, dia bimbang dengan isu kekurangan minyak peket sejak kebelakangan ini kerana perkara sama pernah terjadi dahulu, yang mana ia pernah berlarutan selama sebulan.
Menurutnya, masalah yang berlaku ini agak mengganggu perniagaannya kerana banyak masa digunakan semata-mata untuk mencari minyak peket di merata tempat.
"Banyak buang masa cari minyak peket di kedai lain kerana saya hanya dapat membeli satu atau dua peket sahaja di sebuah kedai.
"Dulu isu ini pernah terjadi sehingga sebulan, tapi sekarang sudah dua minggu. Saya risau dan tidak tahu sampai bila ia akan berlarutan,” katanya yang sudah berniaga selama 12 tahun.
Dalam pada itu, peniaga, Rojis Zainal Abidin, 50, berkata, dia mula menyedari kekurangan bekalan minyak peket di pasaran sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, dia akan mendapatkan barangan kawalan bersubsidi itu di pasar raya kerana stok di premis berkenaan lebih banyak berbanding di kedai runcit, namun kini pembelian dihadkan kepada tiga peket untuk satu keluarga.
"Selalunya saya mendapatkan bekalan minyak peket di pasar raya kerana ia mudah didapati, cuma sejak kebelakangan ini stok (minyak peket) tidak banyak seperti dulu,” katanya yang mengusahakan kedai makan di Kampung Lombong, Seksyen 29 di sini.
Sementara itu, rata-rata pengguna di daerah Sabak Bernam juga mula merungut berikutan kesukaran mendapatkan minyak masak peket sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Sungai Besar mendapati bekalan minyak masak peket kehabisan stok.
Seorang pengguna, Roslan Mat, 52, berkata, beberapa kedai runcit dan pasar raya di daerah itu tidak lagi menjual minyak peket sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, minyak masak peket jauh lebih murah jika dibandingkan minyak masak botol.
"Saya biasa guna minyak masak peket, tetapi hampa kerana bekalannya tidak dapat diperoleh sejak empat atau lima hari lalu.
"Hari ini saya ke pasar raya untuk mendapatkan minyak masak peket, tetapi semua rak dipenuhi minyak masak botol," katanya yang menetap di Sungai Besar.
Katanya, kebiasaannya dia membeli tiga atau empat peket minyak masak itu untuk keperluan keluarganya.
"Semua kedai runcit dan pasar raya di sini kehabisan bekalan, apatah lagi jarang berlaku semua kedai kehabisan stok," katanya.
Dalam pada itu, Suhaila Shahrin, 27, pula berkata, ketiadaan barangan kawalan bersubsidi itu memberi kesan kepada perniagaan inap desa diusahakan keluarganya.
Menurutnya, minyak masak peket menjadi pilihan terutama jika pelanggan yang menginap inginkan pakej perkhidmatan penyediaan makanan.
"Penggunaan minyak masak ini memang banyak apatah lagi kita menerima tempahan makanan daripada pelanggan.
"Minyak masak peket jauh lebih murah berbanding minyak masak botol," katanya yang menetap di Parit 2 Kampung Sungai Haji Dorani.
Muhammad Hidayatus Zaman Abdullah Hassan, 35, berkata, kekurangan bekalan minyak masak peket disedari lebih seminggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa kedai mempunyai stok minyak masak, namun pelanggan hanya dibenarkan membeli satu peket sahaja.
"Beberapa kedai runcit di Bagan Nakhoda Omar ada menjual minyak peket, tetapi jumlahnya terhad.
"Penggunaan minyak masak peket jauh lebih jimat berbanding minyak masak botol dan kita harap kerajaan dapat selesaikan perkara ini segera," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja sebuah pasar raya di Sungai Besar yang enggan dikenali berkata, bekalan minyak masak peket kehabisan stok sejak dua minggu lalu.
Katanya, ramai pengguna mencari minyak masak peket di pasar raya itu, tetapi bekalan itu sehingga kini masih tidak diperoleh.
"Saya tidak tahu bila keadaan kembali pulih dan bekalan mula diterima di pasar raya ini. Mungkin sehari atau dua hari ini keadaan sudah bertambah baik," katanya.