MELAKA - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu pengumuman berhubung siapa calon Ketua Menteri Melaka Perikatan Nasional (PN) mungkin akan buat sebelum hari mengundi.
Beliau berkata, ia akan diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.
"Kemungkinan akan diumumkan sebelum pilihan raya. Strategi kita, tidak mahu umum awal sebab tidak mahu dilihat berebut jawatan ketua menteri.
"Jawatan ketua menteri inilah sebabnya jatuhnya kerajaan negeri Melaka. Tetapi ada kemungkinan kita umumkan sebelum PRN.
"Kita lihat, berbincang situasinya dinamik, keputusan dan pengumuman akan dibuat oleh Muhyiddin," katanya pada sidang akhbar di pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya di sini pada Rabu.
Sebelum ini Muhyiddin mengesahkan calon Ketua Menteri Melaka bagi PN akan dilantik dalam kalangan pemimpin Bersatu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, PN tidak mahu menumpukan isu siapa calon Ketua Menteri Melaka sebaliknya fokus terhadap dasar yang mahu dibawa untuk rakyat Melaka.
Katanya, rakyat perlu bijak menilai bahawa yang ditawarkan PN lebih realisitik berbanding parti lain.
"Lucu kerana parti yang menawarkan kestabilan, adalah parti yang jadi penyebab ketidakstabilan di sini.
"Berbeza dengan PN yang prihatin dan jaga kebajikan rakyat. Ada dengar kita berebut jawatan?" soalnya.