Malang sembilan beranak termakan cendawan beracun

Iklan
Salah seorang anak Nurul Musfirah yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka, Dungun. - Foto ihsan keluarga Gambar kanan : Cendawan yang di makan oleh sembilan beranak terbabit..

DUNGUN - Seorang suri rumah hanya mampu melihat tujuh anaknya rebah seorang demi seorang dalam keadaan mulut berbuih dan berdarah kurang sejam selepas menikmati sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun dalam kejadian pada Isnin minggu lalu di kediamannya mereka di Kampung Nyiur di sini.

Ibu kepada lapan anak, Nurul Musfirah Ghazali, 32, itu berkata, dia langsung tidak tahu cendawan yang tumbuh di kebun di sekitar rumahnya adalah spesies cendawan beracun.

Iklan
Iklan

Dia memetik cendawan tersebut sebelum digoreng bersama sayur kangkung dan kacang sebagai salah satu menu makanan tengah hari mereka sekeluarga.

"Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena, terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut, rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah, suami, Muhammad Nurhadi, 36.

Iklan

''Dalam keadaan tidak bermaya, kami mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek, ada yang mulut berbuih dan keluar darah. ALLAH saja yang tahu perasaan saya pada masa itu,'' katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Menurutnya, semua yang ada di dalam rumahnya menjamah menu tersebut kecuali anak yang paling bongsu, berusia setahun sebulan.

Iklan

Menurut Nurul Musfirah, sebelum ini dia memang pernah ternampak spesies cendawan berkenaan yang tumbuh di kebun sayurnya, namun tidak pernah terlintas untuk memetiknya.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, dia langsung tidak rasa ragu-ragu, lalu memetik dan memasaknya.

Spesies cendawan yang dipercayai beracun yang sering tumbuh di kawasan kebun rumah mangsa.- Foto ihsan keluarga

Beritahunya lagi, dalam keadaan lemah dan muntah-muntah, suaminya tetap menggagahkan diri memandu van membawa mereka sekeluarga ke klinik Kesihatan Paka, di sini untuk mendapat rawatan.

Sementara itu, Sinar Harian turut menghubungi kakak kepada Nurul Musfirah, Nurul Annisa Ghazali, 41.

Nurul Annisa adalah individu pertama berkongsi kejadian yang menimpa keluarga itu di laman sosial yang kemudian tular sejak malam Selasa.

Dia hanya mengetahui kejadian menimpa keluarga adik perempuannya selepas dimaklumkan oleh bapa mereka.

Nurul Musfirah turut menghantar sekeping gambar cendawan tersebut kepada keluarga mereka.

"Sejurus ayah melihat gambar cendawan itu, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan cendawan itu beracun, memang tak boleh makan.

"Saya pun agak pelik dengan adik kerana sebelum ini dia memang akan tanya kami sebelum nak makan sayur yangdia tak biasa makan, tetapi kali ini tidak,'' ujarnya.

Katanya, turut menjelaskan perkongsian tersebut dalam media sosial supaya orang ramai lebih berhati-hati dan kejadian sama tidak menimpa orang lain.

Kesemua anak-anak mereka yang berusia antara 13 hingga empat tahun sudah dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih perlu mendapatkan rawatan susulan.