Rumah setinggan jadi stor simpan dadah

Iklan
Shamsul Amar (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Klang Selatan, Klang pada Rabu.

KLANG - Sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis di sini dikesan menjadi stor simpanan dadah apabila sebanyak 40.3 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM117,000 ditemui dalam serbuan polis pada Khamis minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Iklan
Iklan

"Serbuan pada jam 8 hingga 9 malam itu dilakukan berdasarkan risikan polis selama sebulan.

"Seramai lapan lelaki berumur 21 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan tersebut," katanya ketika sidang akhbar di IPD Klang Selatan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menjadikan rumah setinggan itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu.

"Polis merampas 40.3 kilogram dadah dipercayai ganja yang dianggarkan bernilai RM117,000 dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.

Iklan

"Kita turut menyita sebuah motosikal dan kereta yang dianggarkan bernilai RM30,000," jelasnya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dikenal pasti untuk pasaran tempatan.

"Polis sedang menyiasat sumber bekalan dadah ini diperoleh," katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Saringan awal dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ganja.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau.