KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang malam Selasa.
Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarganya sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada TUDM dan negara.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada angkatan TUDM dan negara,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan juruterbang TUDM, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dikurniakan kesembuhan segera.
Dalam kejadian pada jam 10.07 malam itu, kedua-dua juruterbang berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TUDM terhempas
Kali terakhir pesawat Hawk Mk 108 terhempas pada 2017
Pesawat TUDM terhempas: Seorang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin
Identiti mangsa pesawat TUDM terhempas dikenal pasti