SOP PRN Melaka cacatkan proses pilihan raya

Iklan
Ab Rashid

SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah mencacatkan proses demokrasi yang sepatutnya berlaku di negeri tersebut, kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Beliau berkata, ini kerana SOP dijalankan itu dilihat mengekang aktiviti berkempen dilakukan oleh calon yang bertanding dalam PRN terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan media sosial dan saluran media dalam talian lain dilihat tidak mampu menyampaikan maklumat dengan baik dan memuaskan kepada pengundi khususnya kepada mereka yang tidak mendapat akses internet sewajarnya di luar bandar.

"Dalam pilihan raya ini, penting sekali untuk masyarakat membuat pilihan yang bermaklumat (informed choices) selepas mendapat informasi seluasnya mengenai calon.

Iklan

"Sekarang ini, maklumat diperoleh bukan secara berdepan dan kaedah lain (biasa digunakan dalam kempen), manakala kempen secara dalam talian melalui sosial media amat tidak memuaskan dalam pilihan raya.

"Oleh itu, pilihan raya ini walaupun bersifat demokratik, tapi ia juga amat cacat dan tidak mencapai maksud yang sebenar,” katanya pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, beberapa gabungan politik utama seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) meminta SPR supaya memberi sedikit kelonggaran dalam SOP berkempen yang dilaksanakan pada PRN Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rashid berkata, meskipun mengakui penting untuk memastikan pelaksanaan SOP pengawalan penularan Covid-19, namun beliau berpandangan cara yang lebih baik perlu difikirkan bagi pelaksanaan kempen PRN tersebut.

"Pilihan raya ini mesti ditangani dengan lebih demokratik dan calon khususnya parti yang baharu dan bebas perlu mendapat ruang seluasnya untuk memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon.

"Cara yang lebih terbuka perlu diwujudkan bagi masyarakat membuat pemilihan,” katanya yang turut berpendapat PRN Melaka tidak sepatutnya diadakan.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my