Kebajikan keluarga nahas pesawat diberi perhatian termasuk TAPPN

Iklan
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kebajikan keluarga kedua-dua pegawai yang terlibat nahas pesawat Hawk 108 akan diberi perhatian sewajarnya, termasuk bantuan melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bantuan daripada tabung berkenaan diuruskan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan (Mindef).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, anggota penerima benefisiari layak menerima bantuan TAPPN, sekiranya diperakui oleh Ketua Jabatan tercedera atau meninggal dunia ketika menjalankan tugas aktif dan kecederaan atau kematian tersebut bukan berpunca daripada kecuaian atau salah laku anggota.

"Dalam masa sama, saya telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Affendi Buang) dan Panglima Tentera Udara (Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad) untuk menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi mengenal pasti secara terperinci punca kemalangan berkenaan, dan memaklumkannya kepada saya serta orang awam dari masa ke masa.

Iklan

"Siasatan menyeluruh mengambil kira faktor operasi dan latihan serta perihal teknikal akan dijalankan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah turun ke lokasi kejadian dan akan melawat pegawai yang tercedera di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Iklan

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan kini Mejar Mohd Fareez Omar berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terkejut dan berdukacita dengan kemalangan melibatkan pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM ketika sedang melaksanakan latihan penerbangan malam di landasan 36 Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa.

"Lebih menyedihkan, kemalangan ini menyebabkan Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang merupakan juruterbang di No. 6 Skuadron Pangkalan Udara Labuan dan berasal dari Bandar Tun Razak, Pahang meninggal dunia, manakala Mohd Fareez yang merupakan Ketua Flait Penerbangan di No. 15 Skuadron yang berasal dari Dengkil, Selangor telah mengalami kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jenazah Allahyarham Mohamad Affendi akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Muadzam Shah, Pahang dan urusan pengkebumian akan dilakukan oleh Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.

"Sekali lagi, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai yang terkorban, Allahyarham Mohamad Affendi serta pegawai yang tercedera Mejar Mohd Fareez.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama memanjatkan doa, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat ALLAH SWT dan semoga ahli keluarga kedua-dua pegawai tabah mendepani ujian yang amat berat ini. Insya-ALLAH,” katanya. - Bernama