Modul Skuad Waja akan ditambah baik

Iklan
Datuk Seri Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA - Modul Skuad Waja akan ditambah baik tahun hadapan dengan memasukkan kemahiran menolong peringkat pertengahan dan lanjutan bagi Empati, Atensi, Respons, Sokongan (E.A.R.S), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, modul Skuad Waja yang digunakan sekarang bagi melatih sukarelawan adalah untuk menerapkan pengetahuan berkaitan kemahiran peringkat asas menolong iaitu E.A.R.S dan ilmu Psychological First Aid (PFA).

Iklan
Iklan

Ia adalah modul baharu yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) pada akhir tahun lepas dan mula digunakan pada Januari 2021 untuk melatih sukarelawan, katanya.

"Modul ini juga telah dibukukan dan didaftarkan dengan Perpustakaan Negara dengan nombor pendaftaran e ISBN 978-983-44158-5-3 pada tahun 2021 (cetakan pertama),” katanya.

Iklan

Skuad Waja ditubuh pada 8 Mac lepas sempena sambutan Hari Wanita bagi memperkasa komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu jenayah.

Rina berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu sebagai maklum balas kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa mendakwa Skuad Waja merupakan program yang telah lama diwujudkan dan bukannya produk baharu di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Iklan

Rina berkata, sehingga 11 November 2021, seramai 100,002 ahli Skuad Waja telah berjaya dilatih melibatkan 93,145 wanita dan 6,857 lelaki yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti penjawat awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua komuniti, sektor swasta dan mahasiswa. - Bernama