Ekonomi Gadek fokus utama Mohd Amir

Iklan
Mohd Amir meninjau dan bertanya khabar keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir.

BELIAU antara muka baharu dan calon muda yang mewakili sebanyak 43 peratus calon daripada Perikatan Nasional (PN) berusia di bawah 40 tahun.

Dicalonkan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ahli perniagaan Mohd Amir Fitri Muharam bakal bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek sekali gus menyaksikan persaingan enam penjuru.

Iklan
Iklan

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Norafidah Assan bersama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Alor Gajah yang juga Exco Armada Nasional ini tentang persediaan, perjuangannya serta pembaharuan yang akan dibawa untuk penduduk Gadek.

SINAR HARIAN: Sebagai calon muka baharu apa yang anda ingin perjuangkan?

Iklan

MOHD AMIR: Saya akan membina pentadbiran yang bersih serta komited dalam membawa suara rakyat berbilang kaum tidak kira Melayu, Cina, India dan juga Orang Asli di kawasan yang saya tandingi ini. Saya juga dapat lihat reaksi pengundi-pengundi muda di Melaka ini sangat positif terhadap kemunculan saya.

Memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kempen tidak boleh dilakukan secara bersemuka, apa strategi anda untuk menawan hati pengundi?

Iklan

Selain berpeluang bertemu di tempat-tempat awam seperti masjid, pasar, kedai makan dan tempat tumpuan orang ramai, sudah tentu saya memanfaatkan sepenuhnya kaedah berkempen ini menerusi platform media sosial. Penggunaan aplikasi WhatsApp, video, gambar dan juga media massa menjadi fokus saya ketika berkempen.

Apakah pandangan anda mengenai krisis politik yang berlaku sedangkan negara dan rakyat sedang menghadapi krisis kesihatan?

Saya berpandangan, krisis politik perlu dihentikan ketika ini. Semua pihak perlu fokus untuk membantu rakyat menangani pandemik Covid-19. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi, menjaga kebajikan dan memulihkan ekonomi rakyat Malaysia.

Mohd Amir turut bersama kariah setempat untuk berjemaah dan menyertai pengajian di masjid.

Apakah harapan anda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini?

Bagi saya, setiap calon tanpa mengira parti yang telah diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan perlulah komited dan berintergriti demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruhnya.

DUN Gadek menyaksikan persaingan enam penjuru, bagaimana anda lihat persaingan sengit ini, adakah ia mengelirukan pengundi atau membuatkan pengundi berpecah sekali gus merugikan calon bertanding?

Saya sangat berharap agar ia menjadi persaingan yang sihat. Kita tahu pengundi pada hari ini bijak untuk memilih bakal pemimpin yang akan membawa suara dan kebajikan rakyat untuk generasi masa depan.

Seadainya terpilih menjadi wakil rakyat, apakah fokus yang akan anda berikan kepada penduduk kawasan Gadek?

Saya akan memberi fokus dan tumpuan kepada beberapa aspek antaranya menjana aktiviti ekonomi DUN Gadek dalam sektor pertanian dan ternakan. Sumber ekonomi tempatan ini akan digunakan sebagai pemangkin kemajuan. Selain itu, saya akan mewujudkan entiti khas yang dibiaya oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan tindak balas yang responsif kepada bencana banjir oleh pasukan"Gadek Prihatin".

Saya juga akan melaksanakan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk untuk terlibat dalam IR4 melalui pendidikan berteraskan kemahiran 'big data', pendigitalan dan teknologi baharu berasaskan kepintaran buatan atau artificial intelligence (AI). Seterusnya, merencana pembangunan pelancongan Gadek berasaskan kelestarian alam semula jadi, tradisi dan khazanah budaya tempatan dan menyuarakan secara berkesan penambahbaikan serta membina prasarana perhubungan komunikasi multimedia 5G untuk penduduk Gadek.

PROFIL

Nama: Mohd Amir Fitri Muharam

Umur: 34 tahun

Status: Berkahwin

Asal: Felda Bukit Senggeh, Melaka kini menetap di Taman Paya Rumput Perdana.

Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Merlimau,Melaka

Jawatan:

  • Ketua Armada Alor Gajah.
  • Exco Armada Nasional.