HANYA berbaki dua hari lagi sebelum hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung Sabtu ini.
Namun, Perikatan Nasional (PN) masih bermain teka-teki siapa calon Ketua Menteri mereka.
Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran pengundi Melaka. Bilakah dan siapakah calon berkenaan. Parti lawan juga mungkin tidak sabar-sabar menanti pengumuman tersebut.Nampaknya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mahu bermain tarik tali.
Mungkin tidak mahu mengecilkan hati parti gabungan lain atau mahu menjaga hati calon yang tidak terpilih sebagai Ketua Menteri nanti.
Manalah tahu, jika diumumkan awal, bimbang mood untuk berkempen merudum pula.
Bagi penulis, tindakan itu ada baik dan buruknya. Jika diumumkan terlalu awal, kita bimbang calon itu mungkin akan menerima pelbagai ‘serangan’ peribadi, sekali gus boleh menjejaskan undi.
Tetapi jika tidak diumumkan langsung pun susah juga kerana pengundi tidak tahu siapa bakal calon Ketua Menteri mereka jika memilih PN.
Kedua-dua faktor itu perlu diambil berat bagi memastikan sokongan terhadap semua calon PN di Melaka berterusan.
Enam hari lalu, Pengerusi PN mengesahkan bahawa calon Ketua Menteri Melaka bagi PN akan dilantik dalam kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, penetapan itu mengambil kira jumlah calon PRN Melaka daripada parti berkenaan lebih ramai, berbanding parti lain dalam gabungan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu belum mendedahkan nama individu berkenaan. Khabarnya mahu umumkannya hari ini.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan calon Ketua Menteri masing-masing jika menang pada PRN, 20 November ini.
BN menamakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, manakala PH pula menamakan semula bekas Ketua Menteri yang juga calon DUN Bukit Katil, Adly Zahari.
Kedua-dua figura itu dianggap sebagai calon yang tepat walaupun mereka mentadbir kerajaan negeri hanya 'separuh jalan' berikutan pergolakan politik yang berlaku di peringkat kerajaan pusat, namun kebolehan mereka telah diuji.
Walaupun tidak sampai tempoh sepenggal mentadbir kerajaan negeri tetapi ia boleh menjadi kelebihan dan kayu pengukur kepada tahap kebijaksanaan mereka kerana masing-masing sudah ada pengalaman.
Bagi penulis, rakyat boleh menilai prestasi mereka dengan melihat apa yang berlaku dan apa yang di Melaka ketika ini sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun sosiobudaya.
Mungkin tidak adil jika kita mahu bandingkan antara Sulaiman dengan Adly kerana Sulaiman hanya sempat menjadi Ketua Menteri enam bulan sahaja berbanding Adly, 18 bulan.
Namun, penulis yakin pasti ada tindakan atau keputusan dasar yang dilakukan oleh kedua-dua nama besar ini terhadap rakyat Melaka, sehingga boleh memberi kesan jangka masa panjang untuk rakyat negeri bertuah ini.
Bagaimana pula dengan calon Ketua Menteri PN? Adakah individu itu setanding dengan dua figura berkenaan atau mempunyai kelebihan luar biasa?
PN pasti akan menamakan calon besar mereka yang diyakini boleh membawa perubahan dan kemajuan bagi Melaka.
Siapa pun Ketua Menteri Melaka selepas ini, penulis berharap agar beliau mampu membela nasib rakyat. Bantulah kerajaan menguruskan pandemik Covid-19, bukan berkempen untuk kepentingan peribadi sesetengah pihak.
Walaupun secara dasarnya penulis tidak bersetuju dengan PRN Melaka berlangsung, tetapi ia adalah untuk menghormati sistem demokrasi negara.
Semoga PRN Melaka dijadikan contoh dan penunjuk aras bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Buatlah pilihan dengan bijak.
*Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Melaka dan Negeri Sembilan