Makian bakar semangat bekas komando berbasikal

Iklan
Mohamad Puad ketika mengikuti Kembara Ban Pecah dari Sungai Petani Kedah ke Perak pada tahun lalu.

SUNGAI PETANI - Pernah diherdik dan dimaki kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti berbasikal, namun ia sedikit pun tidak pernah melunturkan semangat Mohamad Puad Mansor, 54.

Sebaliknya, bekas komando tentera itu menjadikan cacian tersebut sebagai pembakar semangat untuk meneruskan hobi tersebut.

Iklan
Iklan

Mohamad Puad memberitahu, minatnya terhadap aktiviti itu bermula sejak dia berkhidmat sebagai anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (Paskau), namun lebih aktif selepas bersara pada 2010.

Anak kelahiran Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda berketurunan ulama Sheikh Waksa Bugis itu pernah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia mahu pun ke luar negara dengan berbasikal.

"Ketika mengembara, saya dan rakan sering menjadikan surau dan masjid sebagai destinasi persinggahan.

Iklan

"Selain untuk beribadat, rumah ALLAH itu juga dijadikan tempat bersilaturahim antara kenalan lama dan baharu di negeri yang kami singgah," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman dihalau dan diherdik ketika sampai ke sebuah masjid di utara semenanjung antara memori yang masih kekal.

Iklan
Menyertai kayuhan sambil menikmati keindahan Danau Toba pada 2019 yang merupakan tasik gunung berapi terbesar di Indonesia yang telahpun diiktiraf sebagai tapak Global Geopark oleh Unesco.

"Mereka halau kami sebab tak benarkan kami singgah, ada yang kata aktiviti berbasikal ini hanya membazir masa, tiada faedah dan tiada kerja," katanya.

Jelas beliau, mentaliti masyarakat yang beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai hala tuju adalah tidak benar sama sekali memandangkan aktiviti berbasikal kini sudah menjadi 'trend' bagi setiap lapisan masyarakat untuk menjaga kesihatan.

"Saya boleh katakan, rakan-rakan saya bukanlah penganggur yang suka buang masa, sebaliknya terdiri daripada barisan pendidik, pegawai tinggi kerajaan, imam, pekerja swasta termasuklah ibu tunggal bekerjaya.

"Mengayuh boleh mengeratkan silaturahim, memupuk rasa kasih sayang dan persahabatan, selain menikmati keindahan alam.

''Pada masa sama, aktiviti ini juga boleh menjadikan seseorang itu pemandu pelancong yang berkunjung ke lokasi unik, tempat bersejarah dan kawasan tumpuan awam," jelasnya.

Beliau yang bersara dengan pangkat terakhir, Pegawai Waran II (B) berkata, aktiviti sukan berbasikal juga boleh meningkatkan stamina, minat dan kemampuan, memantapkan mental dan fizikal serta memupuk sifat kesabaran.

Beliau yang berpengalaman sebagai paramedik dan jurulatih aktiviti lasak, pernah memiliki kira-kira 30 buah basikal pelbagai jenis suatu ketika dahulu sebelum dijual setelah mendapatkan alat ganti tulen.

Tiba di Rantau Panjang ketika menyertai Kayuhan Timur Barat Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) - Pantai Merdeka (Kedah) pada 2020.

"Saya pernah tengok sebuah basikal bernilai puluhan ribu ringgit melebihi harga sebuah kereta malah ada orang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit demi sebuah basikal demi memperjuangkan minat mereka.

"Pada masa sama, aktiviti ini juga mampu meningkatkan motivasi diri dan memberi manfaat pada kesihatan," jelasnya.