KOTA KINABALU - Seorang wanita yang pernah tular di media sosial kerana tindakannya mengherdik anggota polis dalam satu sekatan jalan raya (SJR) pada Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Nur Jawaheer Ismail, 34, atau lebih dikenali sebagai Wawa Wahid Enterprise bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis yang dibacakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.
Mengikut kertas pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.30 petang dalam sekatan jalan di Jalan Kapayan di sini.
Nur Jawaheer didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Maslin Samih dengan menyebut perkataan 'nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau'.
Nur Jawaheer didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Nur Jawaheer diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan selain menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dk Afiqah Alya Ak Johari dan Adibah Saiful Bahri manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.
Sebelum itu, dua video memaparkan seorang wanita yang mengaku sebagai Wawa Wahid Entreprise berang dan mengherdik anggota polis di sebuah SJR di Kota Kinabalu tular di media sosial pada Jun lalu.
Video masing-masing berdurasi satu minit 28 saat dan satu minit 37 saat itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet termasuk kecaman terhadap wanita terbabit yang dikatakan mengeluarkan kata-kata biadab ketika disaman.
Nur Jawaheer kemudian ditahan polis pada 17 Jun lalu sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.