"MENGATAKAN bahawa kedua ibu bapa saya telah menculik dan memaksa saya adalah satu telahan yang tidak tepat," kata pelakon, Nynaa Harizal.
Penafian itu dikeluarkan Nynaa atau nama sebenar Nurul Hanynaa Harizal, 25, berhubung dakwaan suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas yang mengatakan pelakon itu telah dilarikan keluarga sebelum tuntutan cerai dibuat.
"Selama ini, saya memilih untuk tidak mahu memberikan apa-apa reaksi terhadap semua berita demi menjaga hati dan perasaan semua pihak yang terlibat.
"Sejak 2 November lalu, saya setiap masa berada dalam jagaan ibu bapa dan ahli keluarga saya di Johor Bahru, jadi mengatakan bahawa kedua ibu-bapa saya telah menculik, itu telahan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, finalis Dewi Remaja 2019 itu dilihat hadir di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru kira-kira jam 10.45 pagi untuk menghadiri sebutan permohonan perceraian.
Sebelum ini, suami kepada pelakon drama Chandelier itu mendedahkan Nynaa telah dilarikan ibu bapanya dari lokasi pengembaraan sebuah drama di Shah Alam, Selangor pada 1 November lalu.
Ketika ditemui, Nynaa bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung punca permohonan cerai antara dia dan Mohamed Fahmi kerana melihat ia sebagai isu peribadi dan tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah.
Nynaa berkata, beliau telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.
"Satu salinan saman tersebut juga telah diserahkan kepada pihak suami pada keesokan harinya iaitu pada 11 November dan pada 18 November ini adalah sebutan bagi permohonan perceraian. Suami saya tidak hadir sebaliknya hanya diwakili pihak peguam.
"Jadi sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi tidak menjejaskan prosiding, saya membuka ruang untuk perbincangan dengan suami dan perkara ini telah dinyatakan melalui perbualan telefon pada 12 November lalu,” katanya.