PRN Melaka: PKR kemuka enam tuntutan terhadap SPR

Iklan
Manivannan (tengah) ketika sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi PKR pada Khamis

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan enam tuntutan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan tindakan Ketua Tempat Mengundi (KTM) yang didakwa menghalang tugas Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (PACA) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.

Timbalan Ketua Penerangannya, Manivannan Gowin berkata, tuntutan tersebut dikemukakan bagi memastikan perjalanan PRN Melaka pada 20 November ini mengikut lunas peruntukan perundangan pilihan raya negara supaya proses pilihan raya berjalan lancar dan sempurna, di samping mendukung dan menghayati konsep demokrasi.

Iklan
Iklan

"Tuntutan pertama, kami memohon agar Pengarah SPR mengarahkan agar KTM yang melakukan kekhilafan nyata tersebut, untuk tidak bertugas pada 20 November dan digantikan dengan seorang KTM yang mempunyai pengetahuan mengenai perjalanan pilihan raya.

"Tuntutan kedua, kami memohon agar pegawai-pegawai SPR iaitu Pengurus Pilihan Raya (RO), Penolong Pengurus Pilihan Raya (ARO) dan khususnya KTM untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang yang termaktub di bawah akta-akta dan peraturan pilihan raya,” katanya ketika sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi PKR pada Khamis.

Iklan

Pada Selasa, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Muhammad Asri Ibrahim membuat laporan polis berhubung kejadian ejen yang mewakilinya itu dihalang memasuki Pusat Pengundian Awal (PPA) yang terletak di Balai Polis Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Manivannan turut menggesa Pengarah SPR agar memberi amaran keras kepada semua KTM agar tidak mencipta, mereka, atau membentuk peruntukan undang-undang sendiri yang melampaui kuasa Parlimen.

Iklan

Tambahnya, Pengarah SPR turut digesa memberi taklimat akhir sebelum hari mengundi biasa tentang pematuhan dan kefahaman undang-undang dan peraturan pilihan raya kepada semua petugas pada 20 November depan.

"Tuntutan kelima, kami memohon agar Pengarah SPR memaklumkan kepada semua RO, ARO dan KTM agar menghormati hak semua calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka di semua 28 DUN yang ditandingi, selagi semua pihak mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.

"Tuntutan keenam, kami memohon agar Pengarah SPR dan RO yang bertugas di Balai Polis Masjid Tanah untuk memohon maaf secara terbuka kerana mohon maaf secara tertutup tidak memadai kepada calon dan ejen pilihan raya PH dan seluruh warga pengundi DUN Lendu,” tambahnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my