KLANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memastikan sumber bekalan makanan yang berkualiti dapat disediakan kepada Keluarga Malaysia sepanjang musim tengkujuh.
Ketua Setiausaha (KSU) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa mengadakan kerjasama dengan pihak industri untuk memastikan penyediaan makanan sentiasa ada dan tidak terputus sepanjang musim tersebut.
"Kita sentiasa mengadakan kerjasama dengan pihak industri untuk memastikan supaya penyediaan makanan sentiasa ada dan tidak terputus.
"Saya telah berbincang dengan pegawai MAFI pada Rabu untuk memastikan beberapa solusi bagi kita syorkan kepada pihak kerajaan supaya dapat kita dapat sediakan sumber bekalan makanan yang lebih banyak pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program MAFI Prihatin dan ‘Walkabout’ Program Pertanian Bandar Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan.
Mengulas lanjut tentang program pada Khamis itu, Haslina berkata, Program Pertanian Bandar Negeri Selangor iaitu Kebun Komuniti merupakan salah satu inisiatif MAFI untuk membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban perbelanjaan harian.
Menurutnya, MAFI memperuntukkan sebanyak RM3.63 juta melibatkan 117 komuniti yang menerima manfaat daripada inisiatif tersebut setakat November ini.
"Sebenarnya inisiatif ini telah diadakan beberapa tahun lalu, namun ia diperhebatkan semasa negara dilanda pandemik Covid-19 kerana kita lihat ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian sebanyak 50 peratus kepada penduduk yang terlibat secara langsung dalam projek ini.
"Projek Kebun Komuniti dilaksanakan atas inisiatif masyarakat kawasan tersebut, namun kami di peringkat kementerian sentiasa mendekati mereka untuk memastikan apa yang disediakan dapat dijual,” katanya.