Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan

Iklan

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan yang meninggal dunia pada Rabu.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan
Iklan

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Abdul Ghafar dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT serta ditempatkan bersama para solihin.

Iklan

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham terutamanya kepada negeri Melaka," demikian menurut catatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas ADUN Asahan meninggal dunia

Abdul Ghafar, 65, membuat penampilan pertama sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada tahun 2004 dan seterusnya mempertahankan kerusi itu pada PRU12 pada tahun 2008.

Iklan

Pada PRU13, Allahyarham bertanding di DUN Asahan dan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU14, selain pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka. - Bernama