Kenangan bantu ibu dorong Bilal tolong orang susah

Iklan
Ahmad Bilal

MELAKA - Pengalaman membantu ibu berniaga nasi lemak dan kuih-muih untuk membesarkan 11 adik-beradik sangat menyentuh hati dan tidak pernah luput daripada ingatan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin.

Malah setiap kali menyingkap kisah itu, Ahmad Bilal, 38, yang mesra dipanggil Bilal dalam kalangan penduduk berkata, pengalaman tersebut mendorong dirinya untuk membantu penduduk terutama yang berada dalam kemiskinan.

Iklan
Iklan

"Saya lahir dalam keluarga susah, ibu menjual nasi lemak dan kuih-muih untuk membantu arwah ayah mencari rezeki keluarga.

Saya masih ingat saya kutip kelapa pada sebelah petang untuk dimasak nasi lemak bagi jualan esok, seawal jam 4 pagi saya sudah bangun.

Iklan

"Ia amat terkesan dalam diri saya, apabila lihat orang susah saya akan teringat kembali dan itulah semangat saya untuk membantu mereka,” katanya dalam video yang dimuat naik menerusi Facebooknya di sini pada Khamis

Ahmad Bilal yang dilahirkan di Kampung Umbai dalam DUN Serkam dan berkelulusan Universiti Yamaniah, Sana’a, Yaman merupakan calon PAS paling muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Iklan

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menawarkan sembilan inisiatif untuk rakyat Serkam pada PRN berkenaan jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Antaranya mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta hasil industri hiliran, menyediakan bantuan untuk nelayan berdaftar, dana khusus memperkasa koperasi usahawan wanita, menaik taraf sistem saliran banjir dengan melaksanakan pelan pencegahan bencana banjir dan memperkasa perkhidmatan bekalan air bersih dan meningkatkan infrastruktur kawasan khas Wi-Fi secara percuma.

Menggunakan slogan ‘Nafas Baru Serkam’, Ahmad Bilal pernah bertanding sebagai calon PAS di DUN sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan berdepan pertandingan tiga penjuru berbanding empat penjuru dalam PRN Melaka.

Pada PRN kali ini, Ahmad Bilal berdepan dengan penyandang DUN itu Datuk Zaidi Attan daripada Barisan Nasional (BN), Norazlanshah Hazali (Bebas) dan Muhammad Khomeini Kamal (PH).

Pada PRU14 Zaidi memenangi kerusi DUN Serkam dengan majoriti 2,737. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my