MELAKA - Rakyat Melaka terutamanya pengundi di luar negeri ini disaran untuk menjalankan tanggungjawab dengan turun mengundi pada 20 November ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, perkara tersebut perlu dilakukan memandangkan ramai daripada rakyat Melaka yang mahukan perubahan demi kebaikan negeri itu.
"Saya sangat mengharapkan kepada semua pengundi, tidak kisah di mana berada terutama di luar Melaka untuk pulang mengundi. Ini masanya mereka zahirkan aspirasi mereka terhadap negeri kelahiran.
"Melaka kini perlukan satu perubahan, kalau mereka tidak keluar mengundi, hanya melihat, menonton atau menjadi 'keyboard warrior', itu tidak akan zahirkan aspirasi mereka.
"Inilah masa untuk tunjuk pilih pemimpin untuk membawa Melaka ke menara gading,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tidak ketinggalan, beliau turut mengharapkan agar rakyat di DUN Bemban dapat keluar mengundi tanpa rasa ragu-ragu.
Jelasnya, meskipun kini rakyat berada dalam keadaan marah akan situasi politik negeri Melaka, dengan mengundi secara tidak langsung membantu untuk menstabilkan semula keadaan itu.
"Ini masanya untuk kita berubah dan tunaikan tanggungjawab, tentukan pilihan. Marah, benci perlu dizahirkan dengan memberi peluang kepada pemimpin yang sepatutnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai tahap keyakinannya untuk memenangi DUN Bemban, beliau agak yakin untuk memenangi di kawasan itu meskipun pihak lawan adalah calon ‘heavyweight’ atau pilihan.
"Walaupun saya dapat khabar-khabar berkaitan sokongan yang padu dari pengundi walaupun saya orang baharu, saya tidak jadikan ia sebagai satu keselesaan.
"Selagi ada masa untuk saya berkempen, saya akan teruskan juga. Apa sahaja keputusan saya akan terima. Saya akan cuba beri yang terbaik kepada semua rakyat jika diberi peluang walaupun berbeza fahaman politik, agama dan sebagainya,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my