MELAKA - Memperkasakan pembangunan kemudahan di Tanjung Bidara dan Masjid Tanah khususnya sebagai hab e-sukan untuk anak-anak muda bagi melahirkan pemain bertaraf dunia, menjadi antara inti pati ikrar Datuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebagai dasar manifestonya selain tiga lagi tumpuan iaitu pengukuhan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.
"Inilah ikrar saya untuk warga Tanjung Bidara. Empat tumpuan utama. Insya-ALLAH jika diberi mandat oleh kalian semua. Apa pun, kita akan sama-sama mencari solusi kepada permasalahan yang kita hadapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya pada Khamis.
Dalam tumpuan pendidikan, antara lain ikrar beliau adalah menambah baik inisiatif Mahasiswa Prihatin kepada pelajar yang memerlukan bantuan komputer riba/tablet untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih efisien.
"Selain itu, bantuan Pendidikan Prihatin iaitu bantuan tunai untuk anak-anak Tanjung Bidara dalam kalangan B40 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan yang memerlukan bantuan dalam pelajaran juga akan diperluas.
"Pendedahan dan bantuan kepada anak-anak yang minat mahupun sedang menganggur untuk menghadiri kurus kemahiran/TVET serta menyebar luas inisiatif Pusat Tuisyen Prihatin Rakyat kepada pelajar-pelajar SPM/STPM/STAM dalam Tanjung Bidara turut menjadi fokus saya,” katanya.
Bagi tumpuan pengukuhan ekonomi, Mas Ermieyati mahu memberi nafas dan wajah baharu bagi pelancongan di Tanjung Bidara dan Masjid Tanah amnya di samping memangkin pertumbuhan ekonomi supaya mewujudkan sumber ekonomi dan kekayaan baharu.
"’Tidak dilupakan, pemerkasaan bantuan untuk nelayan berdaftar di DUN Tanjung Bidara dan memperhebatkan sektor ekonomi gig termasuk e-hailing yang terjejas akibat Covid-19,’’ katanya.
Sementara dalam tumpuan infrastruktur, fokus beliau ialah untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan untuk meningkatkan kesalinghubungan capaian internet di sekitar kawasan Tanjung Bidara bagi memenuhi keperluan pendidikan dan ekonomi warga Tanjung Bidara.
"Untuk nelayan, penyediaan dan menaik taraf kemudahan nelayan dari Pantai Tanjung Bidara sehinggalah Pantai Pengkalan Balak akan dilakukan di samping menambah baik akses masuk dan keluar pantai-pantai di Tanjung Bidara dan menambah kemudahan tempat letak kenderaan di kawasan tumpuan pelancongan,” katanya.
Mas Ermieyati bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Barisan Nasional) dan Zainal Hassan (Pakatan Harapan).
Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini. -Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my