SABAK BERNAM - Harga telur ayam di beberapa kedai runcit di sini didapati mengalami kenaikan sehingga RM3 sepapan sejak sebulan lalu.
Seorang pengguna, Nurafidah Haron, 38, berkata, kenaikan harga itu mula dikesan pada Oktober.
Menurutnya, harga telur ayam gred C misalnya dijual pada harga RM8 sepapan sebelum ini, namun naik mendadak kepada RM11 sepapan.
"Kenaikan ini memang memberi kesan memandangkan telur antara barangan keperluan setiap kali membeli barangan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Nurafidah berkata, kenaikan harga itu tidak diketahui puncanya dan berharap ia tidak terus mengalami kenaikan mendadak.
"Kita harap kerajaan pandang serius isu kenaikan harga telur ayam dan berharap ia dapat dikawal kerana tidak mahu ia terus memberi kesan kepada penduduk," ujarnya.
Seorang peniaga makanan, Faridah Dollah, 37, berkata, kenaikan harga telur sememangnya memberi kesan kerana permintaannya yang tinggi.
"Saya akui memang harga telur ayam naik, tetapi kita tetap menjual makanan pada harga sama kepada pelanggan," jelasnya.
Seorang peniaga kedai runcit di Pasir Panjang, Sekinchan, Mohd Fauzi Nor Ali, 38, berkata, harga telur sememangnya mengalami kenaikan.
Bagaimanapun, katanya harga telur dijual di kedainya untuk tempoh seminggu ini tidak mengalami kenaikan kerana menggunakan stok lama yang dibeli daripada pemborong pada minggu lalu.
"Harga telur gred C masih harga lama iaitu RM11.30 sepapan, manakala sebiji telur dijual pada harga 40 sen," jelasnya.