Pusat kajian sejarah penting lengkap peranan muzium: Tunku Azizah

Iklan
Tunku Azizah melihat cenderamata selepas berakhirnya Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di Hotel Hyatt pada Selasa.

KUANTAN - Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) penting bagi melengkapkan peranan muzium dalam membuat kajian, penyelidikan dan meneroka warisan kebudayaan serta sejarah tempatan.

Iklan
Iklan

Raja Permaisuri Agong,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, penubuhan pusat kajian itu bukan sekadar berperanan sebagai muzium sebaliknya boleh dijadikan pusat pendidikan dan rujukan kepada semua pihak.

"Segala bahan sejarah dan budaya negeri Pahang dikaji selidik, diterokai serta difahami dengan lebih mendalam lagi akan dilakukan di pusat kajian ini.

Iklan

"Pusat kajian ini amatlah penting seperti yang dititahkan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Jamuan Teh Sempena Taklimat Cadangan Menandatangani Perjanjian (MoA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah pada 22 Mac yang lalu," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang, Datuk Khairuddin Mahmud.

Tunku Azizah bertitah, pusat kajian ini juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan kesenian yang memperkenalkan hasil seni serta kreativiti anak tempatan.

Titah baginda, muzium adalah sebuah institusi di bawah naungan istana dan ia bukan hanya sebagai pusat tarikan pelancong dan pemuliharaan barangan artifak semata-mata

"Tetapi juga menjadi institusi ilmu yang menyimpan serta menyambung warisan kebudayaan dan sejarah tempatan.

"Malah, hasil seni dan kreativiti ini berpaksikan kepada ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka berdasarkan pengalaman mereka yang luas dan mendalam.

Tunku Azizah (enam dari kiri) bersama wakil institusi pendidikan dan penyelidikan selepas berakhirnya Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di sebuah hotel di Kuantan pada Selasa.

"Oleh itu, pusat kajian ini semestinya akan memperkenalkan aspek tersebut seperti seni tenunan tekstil, kemahiran memasak, dan sebagainya. Aspek ini yang menjadikan pusat kajian lebih unik dan berketrampilan kerana menonjolkan aspek ilmu, kebudayaan dan kesenian," titah Tunku Azizah.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pusat yang tubuhkan kerajaan Pahang bagi menghidupkan pengkajian dan penyelidikan dalam bidang berkaitan sejarah serta tamadun di seluruh negara.

Katanya, penubuhan pusat itu menggalakkan lebih banyak usaha penyelidikan dan pengkajian untuk memberikan jenama lebih kukuh khususnya kepada warisan sejarah serta budaya negeri mahu pun negara.

Menurutnya, pusat kajian ini akan dibantu oleh ahli akademik dan pakar-pakar dari pelbagai bidang termasuklah bidang kesenian dan permuziuman dari dalam dan luar negara.

"Kita merancang untuk melantik sarjana ulung yang pakar dan berwibawa dalam pelbagai bidang bagi memberi panduan dan hala tuju kepada pusat kajian ini.

"Jadi, kita mengharapkan agar penyelidikan bermutu tinggi dan bermanfaat besar semakin giat bercambah dalam dunia keilmuan khususnya di Pahang. Disebabkan itu, pihak kita (muzium) telah memeteraikan kerjasama dengan beberapa institusi pendidikan dan penyelidikan bagi meningkatkan mutu kajian dan ilmuan," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Khairuddin.

Mohd Sharkar berkata, pihaknya berhasrat untuk melahirkan masyarakat berfikiran aras tinggi dan beradab tinggi, berakhlak mulia berteraskan ilmu yang luas serta benar mengenai pemahaman sejarah yang sahih.

Jelasnya, ini bermakna pusat kajian ini berupaya meninggikan kualiti pemikiran dan tamadun bangsa.

"Kita juga mahu jadikan pusat kajian ini menjadi tempat pertemuan para ilmuan, penyelidikan, pengumpulan sumber dan pengembangan ilmu," katanya.