MELAKA - Peniaga produk berasaskan pelancongan di Medan Samudera, Bandar Hilir di sini meminta wakil rakyat yang dipilih mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini agar segera membantu memulihkan pendapatan mereka.
Menurut peniaga di situ pendapatan hampir 30 peniaga di Medan Samudera terjejas teruk selepas perniagaan mereka terpaksa ditutup hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Seorang peniaga Azahar Johani, 50, berkata, suasana PRN Melaka tidak memberi impak ekonomi positif kepada perniagaannya kerana tidak ramai penyokong mana-mana parti politik datang 'berkampung' di Melaka disebabkan kaedah berkempen secara fizikal tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
''Jika mandat dah diberikan rakyat, saya harap hormatilah ia. Tidak kira siapa yang dipilih, jalankan tanggungjawab memimpin negeri ini dengan penuh amanah.
''Apa yang saya harapkan PRN ini tidak memberi kesan kepada perniagaan kami yang baru hendak pulih (jika kes Covid-19 meningkat). Saya juga berharap calon yang akan mewakili kawasan Bandar Hilir ini akan lihat usaha untuk pulihkan aktiviti perniagaan berasaskan pelancongan ini sebab kami dah begitu lama terkesan,'' kata Azahar yang sudah berniaga di Medan Samudera sejak 18 tahun lepas kepada Bernama.
Beliau berkata, kebanyakan peniaga kraftangan di Melaka, khususnya di Medan Samudera berdepan masalah mendapatkan bekalan produk terutama dari Thailand dan Indonesia memandangkan sempadan masih ditutup.
''Kita masih dapat bekalan kraftangan tempatan dan sedaya upaya mengekalkan harga. Sebab itu kita harap keadaan kembali stabil dan secara tidak langsung produk dapat dikeluarkan dengan lebih banyak dan lebih ramai pelancong datang,'' katanya.
Seorang lagi peniaga, Nurul Huda Abdullah, 45, berharap wakil rakyat mereka melalui kerajaan baharu nanti berusaha membantu mempercepatkan kemasukan pekerja dari luar kerana kebanyakan peniaga mengalami kesukaran menguruskan perniagaan kerana kekurangan pekerja.
''Saya sendiri berdepan masalah menguruskan gerai jualan makanan tradisional seperti dodol, cencaluk dan inang-inang di sini kerana kekurangan pekerja. Ramai anak muda yang bekerja di premis perniagaan dulu telah beralih ke kilang kerana perniagaan ditutup,” katanya. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my