Umum Mas Ermieyati calon ketua menteri langkah berani PN

Iklan
Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) pada Khamis mengambil langkah berani dengan mengumumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri sekiranya parti itu memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sekali gus menghapuskan spekulasi yang bertiup sebelum ini dan bakal mencipta sejarah Melaka malah negara apabila julung kalinya menyaksikan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, selain Mas Ermieyati, Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen antara yang disebut-sebut dipilih untuk jawatan berkenaan.

Persoalan yang timbul adalah sama ada dengan pengumuman berkenaan akan mengubah pola pengundian di Melaka pada saat akhir berkempen yang berbaki sehari lagi khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Iklan

Mengulas persoalan berkenaan, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, perubahan pola pengundian lebih bergantung kepada kaedah penyampaian jentera parti pada saat akhir.

"Disebabkan terlalu banyak propaganda daripada parti yang bertanding, begitu juga dalam isu ketua menteri ini, kaedah penyampaian mungkin masih dapat mempengaruhi pola pengundian namun ia sangat terhad.

Iklan

"Dari segi peluang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bagi saya ia tidak memberikan kesan kerana setakat hari ini, kedua-dua pakatan ini kelihatan lebih menonjol daripada PN.

"Mungkin tahap keyakinan mereka adalah berdasarkan pilihan raya yang lalu. Namun, tidak mengejutkan sekiranya kesungguhan PN dalam meletakkan YB Mas Ermieyati ini dapat mengurangkan undi BN,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pengumuman berkenaan merupakan strategi bagi menarik sokongan wanita dan juga golongan belia di negeri ini, selain mengelakkan polemik terhadap calon ketua menteri sekiranya diumumkan lebih awal.

Beliau tidak menolak pengumuman itu juga adalah satu pengiktirafan buat kaum wanita selain menjadi cabaran buat Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah itu untuk memberi kemenangan buat PN dalam PRN.

"Kita dah nampak siapa rakyat Melaka nak ikut sama ada Adly Zahari (calon Ketua Menteri PH), Mas Ermieyati atau (Datuk Seri) Sulaiman Md Ali (calon Ketua Menteri BN). Saya rasa bergantung kepada perspektif kepada rakyat, boleh tak Melaka dipimpin oleh wanita. Ia satu risiko tapi juga peluang kepada wanita,” katanya.

Mohd Azizuddin berpendapat tiada halangan untuk wanita dilantik ke jawatan utama negeri.

"Cuma kita tak pernah ada sejarah wanita jadi ketua menteri atau menteri besar. Kalau ia berlaku, ini kali pertama maksudnya sejarah tercipta dengan terpilihnya seorang wanita sebagai ketua menteri tetapi realiti itu kalau PN menang,” katanya.

Sebelum ini, jawatan Ketua Menteri Melaka telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly dan terakhir ialah Sulaiman.

Mohd Azizuddin turut berpandangan bahawa pencalonan Mas Ermieyati juga akan menjadi ‘booster’ kepada peningkatan undi kepada calon PN yang lain.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri. PN yang dianggotai Bersatu bertanding di 15 kerusi, lapan Pas dan lima Gerakan. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Ermieyati calon Ketua Menteri Melaka PN

PRN Melaka: Siapa boleh menang di kerusi panas?