[MUKADIMAH] Dengan hanya tinggal kurang 48 jam lagi pintu pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibuka, rata-rata rakyat bumi Hang Tuah sepakat mahu memilih calon yang bersih dan bebas daripada korupsi.
Ikuti laporan Kru Rasuah Busters, ASMALIZA MANSOR, SHAMSUL ABD GHANI, HISYAMUDDIN AYUB dan AFHAM RAMLI yang kini berada di Melaka.
MELAKA TENGAH - Orang politik di Melaka khususnya yang bakal diberikan mandat menerajui kepimpinan negeri esok diingatkan supaya tidak memperkotak-katikkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
Seorang pengundi, Zulkifli Hasim, 55, berkata, dia tidak mahu kejatuhan Kerajaan Melaka pada tahun 1511 kepada Portugis berulang hingga menyebabkan rakyat hilang rasa hormat terhadap pemimpin.
Zulkifli menyarankan supaya pemimpin mengambil iktibar daripada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu angkara rasuah dan pembelotan.
"Apa yang berlaku hari ini adalah perebutan kuasa sesama sendiri. Kita sudah bagi mandat, tapi mereka (orang politik) mempermainkannya.
"Ada yang berebut kuasa sesama sendiri, pentingkan diri sendiri. Sejarah Raja Mandeliar dan Si Kitol dan PRN ini lebih kurang serupa. Kerajaan sendiri dijatuhkan, sepatutnya dipertahankan,” katanya kepada Kru Rasuah Busters.
Seorang lagi pengundi, Arjan, 70, pula berkata, masyarakat mahukan pemimpin yang adil dan berfikir untuk membawa Melaka ke arah kemajuan.
Katanya, sesiapa pun yang menerajui pemerintahan negeri kelak, tidak kira parti politik mana sekali pun diingatkan supaya menunjukkan contoh kepimpinan baik dan bertauladan.
"Rakyat memerhati. PRN yang berlaku hari ini ibarat adik-beradik yang cemburu satu sama lain. Itulah sebab kerajaan negeri tumbang bila semua hendak kuasa,” katanya.
Salwa Alwi, 49, pula menganggap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika wabak Covid-19 masih melanda negara adalah beban bagi masyarakat.
"Ada yang mahu bekerja dan berniaga semula untuk cari pendapatan yang hilang ketika sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Pembubaran DUN yang belum sampai masanya adalah beban kepada rakyat. Apa pun, kita rakyat Melaka berharap pemimpin yang diberi mandat nanti dapat menjalankan tugas dengan baik dan setia dengan harapan rakyat,” katanya.
Berpandangan sama, Izah Rosli, 22, pula berkata, pemimpin yang diperlukan adalah individu yang berjiwa rakyat dan prihatin.
Ujarnya, dalam keadaan ekonomi yang lelah pada hari ini, PRN menjejaskan urusan masyarakat.
"Diharap PRN ini dapat melahirkan pemimpin yang setia, prihatin dan tidak lagi ‘lompat’ untuk kepentingan tertentu,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my