BERBAKI 24 jam lagi sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu, pengundi yang menetap di luar kawasan mula merentas negeri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman menasihatkan kumpulan pengundi berkenaan supaya mengambil inisiatif melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke Melaka.
Nasihat tersebut tidak boleh dipandang remeh meskipun rata-rata pengundi luar kawasan diyakini telah lengkap suntikan vaksin Covid-19, namun masih berisiko dijangkiti dan menularkan virus itu kepada orang lain.
Ketika ini pakar kesihatan awam juga menyuarakan kebimbangan terhadap gelombang peningkatan kes Covid-19 akibat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dalam kalangan masyarakat.
Meskipun disarankan untuk tidak melakukan sebarang sentuhan fizikal seperti bersalam dan mencium pipi tetapi masih ramai yang berbuat demikian tanpa memikirkan ancaman nyawa orang lain terutama warga emas.
Justeru, pengesanan awal amat penting agar tiada sesiapa membawa pulang virus Covid-19 ke Melaka dan membahayakan kesihatan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan rakan di kampung.
Kit ujian kendiri kini semakin mudah diperoleh di pasaran apabila penjualannya diperluaskan ke pasar raya dan stesen minyak terpilih di seluruh negara dengan harga serendah RM6.60. Jika keputusan ujian kendiri itu negatif, maka pulanglah dengan mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa termasuk ketika berada di pusat mengundi.
Ia menjadi kewajipan yang perlu diutamakan, selain menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih calon wakil rakyat baharu yang bakal menerajui negeri Melaka nanti.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan usaha pemberian dos penggalak sebagai strategi perlindungan yang penting terutama dengan pembukaan sektor ekonomi dan sosial.
"Jika anda menerima janji temu untuk dos penggalak, KKM menyarankan anda hadir dan menerima booster shot untuk Covid-19,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.