Dr Mohd Aleef sedia beri khidmat terbaik

Iklan
Dr Mohd Aleef melakukan pemeriksaan dan memberi nasihat kepada warga emas sewaktu melakukan ziarah dari rumah ke rumah.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Mohd Aleef Yusof (PN) yang menentang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (BN), Hasmorni Tamby (PH) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).

Sejauh mana calon muda, Dr Mohd Aleef, 35, mampu memberikan persaingan dan meruntuhkan kubu kuat BN pada PRN Melaka yang berlangsung esok?

Iklan
Iklan

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar bersama colon muda ini mengenai agenda perjuangan serta strategi yang dilakukan bagi menabur bakti buat pengundi DUN Sungai Udang.

SINAR HARIAN: Apakah sebab utama anda mengambil keputusan menjadi calon mewakili PN di DUN Sungai Udang?

Iklan

DR MOHD ALEEF: Saya memang meminati politik dan rakan-rakan juga mendorong saya sertai politik tetapi yang membuatkan saya teringin menyertai politik kerana mahu menerima cabaran dalam hidup. Secara peribadi, sudah tiba masa orang muda diberi mandat dan diangkat sebagai pemimpin. Pemimpin muda bukan hanya pemimpin masa hadapan tetapi masa kini. Atas faktor itu, saya sahut cabaran sertai politik, ditambah pula dengan peluang sebagai calon.

Iklan
Dr Mohd Aleef (tengah) menyantuni pengundi di sebuah kedai makan ketika berkempen.

Apakah strategi yang digunakan untuk mendapatkan undi rakyat?

Ini pertama kali saya menjadi calon, Alhamdulillah respons dan maklum balas daripada penduduk dan pengundi setakat ini positif. Saya merupakan seorang doktor perubatan yang memulakan profesion sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Besar Melaka sebelum berpindah ke Hospital Tuaran, Sabah kemudian dipindahkan ke Hospital Segamat Johor dan akhirnya membuat keputusan menyertai hospital swasta di Mahkota Medical Centre. Untuk tempoh kempen ini, saya gunakan kepakaran saya sebagai doktor perubatan untuk mendekati pengundi. Saya juga mengambil peluang menziarahi dan memberi nasihat kesihatan kepada penduduk terutama yang mempunyai masalah kesihatan serta uzur.

Kenapa orang Sungai Udang perlu undi anda dan PN?

Penduduk Sungai Udang perlu memberi peluang kepada calon Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi wakil mereka dalam DUN Melaka. PN seperti yang diketahui umum telah membuktikan keupayaan ketika mengetuai kerajaan Pusat tidak lama dulu. Parti ini sudah dikenali sebagai sebuah parti yang prihatin rakyat dan mementingkan nyawa, kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat sebagaimana yang telah dilakukan ketika negara mula-mula dilanda pandemik Covid-19. Sebagai calon PN, saya akan meneruskan agenda prihatin dan membela rakyat yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Berkesempatan menunjukkan skil memasak daging burger.

Apakah perancangan serta fokus pembangunan anda di Sungai Udang?

Apa yang saya lihat Sungai Udang tidak begitu ketinggalan dari segi pembangunan dan kemudahan asas. Bagaimanpun masih banyak aspek yang boleh ditambah baik. Sebagai contoh, kebanyakan penduduk di sini gemar berniaga jadi aspek kemudahan infrastruktur boleh dinaik taraf bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan selesa. Insya-ALLAH saya akan berusaha membantu golongan peniaga dari aspek ini. Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan lain yang akan ditambah baik untuk keselesaan warga Sungai Udang.

Sungai Udang merupakan kubu kuat BN, sejauh mana keyakinan anda untuk menang di DUN ini?

Saya yakin PN mempunyai potensi menang di DUN Sungai Udang. Saya menyeru para pengundi agar keluar mengundi beramai-ramai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Rakyat di DUN ini perlu memberi peluang kepada PN yang mengetengahkan calon muda yang boleh bekerja, berintegriti dan bebas rasuah.

PROFIL

Dr Mohd Aleef

Nama: Dr Mohd Aleef Yusof

Umur:35

Asal: Kandang, Melaka

Pendidikan:

- Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka

- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Melaka.

- Sekolah Menengah Sains Seremban

- Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan, MSU Shah Alam.

- Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), MSU Shah Alam

Jawatan:

- Pegawai Perubatan di Mahkota Medical Centre

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi https://pru.sinarharian.com.my/