IPOH - Seramai 70,775 penduduk di Perak sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sejak pelaksanaannya bermula pertengahan Oktober lalu.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah itu merangkumi petugas barisan hadapan dan warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, kerajaan negeri kini dalam usaha meningkatkan pemberian dos penggalak bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum.
"Untuk penerima yang layak, mereka akan mendapat pemberitahuan melalui aplikasi MySejahtera, manakala yang tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera akan menerima panggilan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat pemberian vaksin (PPV).
"Mana-mana individu yang terlepas janji temu atau ingin mendapatkan suntikan lebih awal dari tarikh janji temu boleh melakukannya melalui pendaftaran secara 'walk-in' ke fasiliti kesihatan swasta yang akan bermula 22 November ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata, status terkini Covid-19 di negeri ini telah merekodkan sebanyak 243 kes baharu pada Khamis.
Daripada jumlah itu, katanya, lima kes terdiri dalam kategori tiga iaitu mengalami radang paru-paru, sementara selebihnya kategori satu dan dua yang tidak bergejala serta mengalami gejala ringan.
"Walaupun Perak sudah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun kebarangkalian risiko peningkatan kes jangkitan Covid-19 boleh berlaku jika kita tidak mengamalkan norma baharu dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Saya menyarankan agar masyarakat mempraktikkan amalan kesihatan awam kendiri TRIIS (ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari) seperti disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Paling utama, mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, bersenam dan sering melakukan pemeriksaan kesihatan," ujar beliau.