Skandal pemberian tanah dan rumah kepada Najib

Iklan
Hassan Karim
KERAJAAN Ismail Sabri Yaakob terselamat semalam 18 November 2021 di Parlimen dalam pengundian peringkat dasar Belanjawan 2022. Ini berlaku kerana gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Keadilan, DAP, Amanah dan UPKO tidak menyokong undi belah bagi.

Ini membolehkan Belanjawan 2022 tersebut diluluskan melalui kelebihan undi suara. Episod semalam di Parlimen memperlihatkan PH memegang pada janjinya terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tidak mempersulitkan Kerajaan YAB Bera dalam meluluskan Belanjawan Negara.

Tiba-tiba semalam di Parlimen meletup satu isu bom jangka yang dipasang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh serta Ahli Parlimen Langkawi. Isunya ialah berkenaan kelulusan Kabinet menganugerahkan sebidang tanah di Ibukota Kuala Lumpur dan sebuah rumah yang akan dibina bernilai RM100 juta ringgit.

Iklan
Iklan

Perkara panas yang bersifat skandal itu terdedah ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menggulung perbahasan di peringkat Kementerian Kewangan sebelum proses pengundian dijalankan.

Jika di zaman Presiden Richard Nixon di Amerika Syarikat wujud skandal pengintipan yang dipanggil Watergate yang akhirnya membawa kejatuhan Nixon sebagai presiden, maka di Indonesia pula pernah berlaku di zaman Presiden keempat Indonesia Kiai Haji Abdulrahman Wahid atau Gus Dur yang dilibatkan dengan skandal Bulogate dan Bruneigate yang antara lainnya menjadi penyumbang kecil kejatuhan intergriti Gus Dur dan berkesudahan membawa tumbangnya Presiden yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Indonesia tersebut.

Iklan

Maka kini di Malaysia, Perdana Menteri Kesembilan, Ismail Sabri Yaakob sedang berhadapan satu isu yang boleh mengheret kerajaannya menjadi satu skandal tanah yang boleh diberi jolokan Tanahgate yang akan menggocang kerajaan Persekutuan Malaysia jika tidak ditangani dengan baik.

Semalam 18 November, belanjawan 2022 Kerajaan Ismail Sabri Yaakob baru melepasi undian di peringkat dasar sahaja. Belum lulus sepenuhnya.Belanjawan tersebut akan memasuki perbahasan peringkat jawatankuasa bermula Isnin depan 22 November 2021. Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kedudukan Memorandum Persefahaman antara PH dengan Kerajaan akan dikaji semula bersabit dengan keputusan kerajaan untuk memberi hadiah RM100 juta dalam bentuk tanah dan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Iklan

Jika Perdana Menteri tidak tampil kedepan memberi penjelasan yaang lengkap dalam skandal"Tanahgate” ini ada besar kemungkinan PH tidak akan menyokong lagi Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa nanti.

Jika ini berlaku di mana pengundian secara belah bagi dituntut dan Belanjawan 2022 tidak dapat diluluskan kerana tewas di peringkat pengundian terakhir sebelum bacaan ketiga maka natijahnya amat besar iaitu kerajaan Ismail Sabri Yaakob hilang keabsahan dan terpaksa seluruh kabinetnya termasuk Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan.

Demikian konvensi amalan demokrasi berparlimen.

Jadi isu"Tanahgate” ini yang bernilai RM100 juta dalam bentuk hartanah, iaitu sekeping tanah dan sebuah rumah untuk dihadiahkan oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob kepaada Najib Razak perlu diteliti dengan waras dan rasional, demi berlaku adil kepada semua pihak, iaitu kepada Kerajaan yang ada sekarang, kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, dan juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Antara soalan yang perlu mendapat penjelasan dari pada kerajaan adalah seperti berikut:-

1. Apakah punca kuasa atau Undang-Undang yang membolehkah kerajaan yang ada mengurniakan tanah dan rumah kepada bekas Perdana Menteri?

2. Adakah Kerajaan telah merujuk kepada Peguam Negara, satu persoalan iaitu, bolehkah bekas Perdana Menteri yang telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Tinggi dan sabitan kesalahan itu masih kekal belum diketepikan berhak mendapat sebarang anugerah atau hadiah daripada kerajaan dalam bentuk tanah dan rumah dikatakan berjumlah sehingga RM100 juta?

3. Apakah benar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dikurinakan oleh kerajaan dalam bentuk tanah dan rumah bernilai lebih kurang RM75 juta?

4. Bilakah amalan memberi hadiah tanah dan rumah kepada bekas Perdana Menteri dimulakan? Adakah Bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad telah diberi tanah dan rumah?

5. Kembali persoalan kepada hadiah yang akan diberi kepada Najib Razak. Berapa luaskah tanah yang akan dikurniakan kepada Najib Razak? Adakah benar tanah itu adalah tanah milik kerajaan?

6. Adakah kerajaan telah membuat penilaian terhadap tanah tersebut?

7. Adakah Kerajaan telah membuat keputusan muktamad atau hanya baru keputusan di peringkat prinsip sahaja berkenaan pemberian tanah dan rumah kepada Najib Razak?

Pada pandangan saya, jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sayang kepada kerajaannya supaya tidak tumbang di pertengahan jalan, maka ada baiknya jangan serahkan perkara ini ditangani oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang kelihatan bersih dan telus harus tampil kedepan menyelesaikan skandal"Tanahgate” ini supaya nama baik Perdana Menteri sendiri tidak tercalar dan tercemar kerana terpalit dengan isu tanah dan rumah yang berlumpur dan beracun ini.

Elakkan nasib yang pernah terjadi kepada Presiden Nixon dengan Watergatenya dan Presiden Gus Dur dengan Bulogate serta Bruneigatenya supaya tidak berlaku pula kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jika tidak ada penjelasan yang memuaskan diberikan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada minggu depan, sebelum pengundian peringkat akhir dan muktamad dilakukan terhadap Belanjawan 2022 terdapat kemungkinan yang besar ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan akan membuat penilaian semula terhadap Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Amatlah sedih dan malang Belanjawan besar bernilai lebih RM300 bilion ringgit yang dirangka dengan tujuan untuk pemulihan negara dari segi kesihatan dan ekonomi digagalkan angkara Skandal"Tanahgate” bernilai RM100 juta diluar peruntukan Belanjawan 2022 semata-mata untuk memberi hadiah kepada seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan bersalah dan dihukum penjara 12 tahun serta denda dalam pertuduhan jenayah di Mahkamah.

* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang