WASHINGTON - China berjaya mengatasi Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi negara paling kaya di dunia, menurut satu laporan penyelidikan terbaharu yang dikeluarkan baru-baru ini.
Penyelidikan yang dilakukan oleh syarikat perunding pengurusan perniagaan, McKinsey & Co itu mendapati anggaran kekayaan China telah meningkat dari AS$7 trilion (RM29.27 trilion) pada tahun 2000 kepada AS$120 trilion ( RM501.78 trilion) pada tahun 2020.
Data daripada syarikat tersebut menyatakan sejak 20 tahun lalu, China mewakili hampir satu pertiga daripada peningkatan kekayaan dunia.
Peningkatan itu mengatasi AS yang mencatatkan nilai kekayaannya meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$90 trilion (RM376.43 trilion).
Namun, AS gagal untuk mengatasi China disebabkan tiada lonjakkan harga di pasaran hartanahnya.
Data itu dikumpulkan dari tahun 2000 hingga 2020.
China hanya menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia ( WTO) pada tahun 2001, sekali gus menyebabkan lonjakan kekayaannya.
Menurut penyelidikan itu, kekayaan dunia telah meningkat tiga kali ganda sejak dua dekat lalu dari kira- kira AS$156 trilion (RM652.47 trilion) pada tahun 2000 kepada kira-kira AS$514 trilion (RM2, 149 trilion) pada tahun 2020. - Agensi