Zainal Abidin tekad bawa pasukan mara ke akhir

Iklan
Adriano (tengah) meraikan jaringan golnya bersama rakan-rakan sepasukan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Melaka United FC dan Sabah FC di Stadium Hang Jebat dekat Krubong pada Khamis. - Foto Bernama

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan bertekad untuk membawa pasukannya terus mara dan melakar sejarah baharu dalam saingan Piala Malaysia selepas menundukkan Sabah FC 2-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat di sini pada malam Khamis.

Kejayaan menempah tiket ke pusingan separuh akhir dengan agregat 3-1 selepas tempoh 38 tahun itu disifatkannya amat bermakna, namun tidak mahu terus dibuai rasa gembira kerana mempunyai tempoh singkat untuk merancang strategi berdepan Kuala Lumpur pada 22 November ini di tempat lawan.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah secara keseluruhan para pemain mengekalkan momentum dan menunjukkan disiplin dari awal hingga akhir perlawanan, cuma banyak peluang terlepas dan itu tidak dinafikan mereka perlu perbaiki corak permainan kerana dalam pusingan sebegini gol adalah amat penting," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini pada malam Khamis.

Zainal Abidin - Foto Melaka United FC

Pada perlawanan disaksikan kira-kira 7,000 penonton itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk merobek gawang Sabah seawal minit ke-3 permainan menerusi Adriano Narcizo yang gagal diselamatkan penjaga gol Rozaimie Rohim dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Iklan

Skuad Sang Kancil terus melebarkan jurang gol menerusi pemain import dari Haiti, Sony Norde pada minit ke-77 dan ketika permainan menghampiri penamat, Sabah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Risto Mitrevski pada masa tambahan.

Sementara itu, Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, gol awal Melaka telah merosakkan perancangan pasukannya untuk bangkit mencari kemenangan pada perlawanan timbal balik itu.

Iklan

"Namun saya berpuas hati dengan persembahan pemain terutamanya pemain muda Sabah dalam Piala Malaysia ini mendapat satu pengalaman dan saya percaya pada tahun hadapan mereka akan bertambah matang seterusnya di situ kita mampu mengubah skrip," katanya. - Bernama