SHAH ALAM - Pendidikan, pemantauan dan hukuman perlu diketengahkan dalam usaha memastikan perilaku rasuah tidak lagi menjadi satu budaya atau kebiasaan dalam masyarakat.
Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, institusi pendidikan terutamanya memainkan peranan penting dalam mengingatkan anak-anak mengenai keburukan rasuah secara berterusan.
"Ada kajian menunjukkan bahawa pelajar beranggapan melakukan rasuah menjadi satu kebiasaan dan tidak salah. Kenapa wujud sikap sedemikian?
"Selain itu, apa gunanya ada undang-undang jika tidak dilaksanakan dan dipantau sepenuhnya. Kita ada banyak undang-undang yang boleh mengawal selia tindakan rasuah tetapi jika pemantauan tersebut tidak ketara, bagaimana nak pastikan hukuman boleh dilaksanakan?
"Bagi saya, undang-undang ada tetapi tahap pelaksanaan, pemahaman dan kelonggaran yang wujud amat rendah.
"Sebab itu kita perhatikan, takrifan ke atas suapan rasuah politik wang masih tidak jelas. Adakah dengan memberikan van untuk bergerak dalam kempen dibenarkan? Adakah jamuan di restoran atau gerai kita bayar, tidak dianggap rasuah tetapi duit kopi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar Edisi ke-305 bertajuk ‘Cari Akar Hapus Budaya Rasuah’ yang disiarkan secara dalam talian di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis ialah Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Abu Hafiz Salleh dan Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Ishak Suliaman, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Mengulas lanjut, Sivamurugan mengakui tidak mustahil golongan berpendidikan atau mereka yang mempunyai kadar celik huruf yang tinggi menganggap rasuah sebagai lumrah atau budaya.
"Apa gunanya masyarakat celik huruf, ada ilmu, kepakaran dan ketokohan tetapi akhirnya tidak dihormati hanya disebabkan cuba untuk berunding atau berkompromi dengan rasuah?
"Jadi untuk membendung dan memastikan sektor ekonomi tidak tergugat dan sektor sosial dapat diangkat, bermakna kita harus kembali pada perkara asas dengan membina masyarakat yang mampu menzahirkan nilai-nilai yang boleh dikongsi bersama.
"Tidak kisah masyarakat beragama Islam, Hindu, Kristian, Buddha atau apa sahaja kepercayaan, saya percaya tidak ada mana-mana pihak yang akan berkompromi dalam soal rasuah atau politik wang,” ujar beliau.