Anggota tentera mengaku tidak salah cabul pekerja kedai vape

Iklan
Zynetlee didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan maksud mencabul terhadap seorang gadis 18 tahun di kedai vape bulan lalu.

AMPANG - Seorang anggota tentera yang tular selepas dirakam menghisap jari pekerja di kedai vape bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan maksud mencabul.

Bagaimanapun, tertuduh, Zynetlee Von Zim, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seorang gadis berusia 18 tahun iaitu memegang tangan kanan dan menghisap jari telunjuk mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai vape di Taman Keramat di sini, pada jam 1.28 tengah hari, 5 Oktober lalu.

Iklan

Atas pertuduhan itu, Zynetlee yang juga bapa kepada seorang anak, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000.

Iklan

"Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi sepanjang perbicaraan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan.

Beliau juga tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Zynetlee perlu menanggung isterinya yang baru melahirkan anak dan keluarganya berada di Sabah.

"Selain itu, anak guam saya hadir sendiri di mahkamah, sekali gus menunjukkan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Maizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tersebut.

Namun disebabkan tertuduh tidak mempunyai pasport, mahkamah membatalkan syarat itu selain menetapkan 12 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape telah didatangi seorang lelaki berseragam tentera dalam kejadian 5 Oktober lalu.

Selesai membeli barangan vape, lelaki itu keluar dari kedai, namun tidak lama kemudian, dia masuk semula ke kedai tersebut untuk menukar pod vape.

Ketika mangsa menyerahkan pod vape berkenaan, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan turut menjilat jari pekerja kedai vape itu.