SHAH ALAM - Hujan lebat dan ribut melanda daerah ini petang tadi mengakibatkan berlaku kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi termasuk Seksyen 8, Jalan Lily Shah Alam dan Dewan Angsana.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Nor Izham Mohd. Nidin, berkata, Pusat Gerakan Operasi negeri terima panggilan kecemasan pada jam 5.27 petang tadi.
Menurutnya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Kota Anggerik serta Pasukan Gerak Pantas Bandaraya Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian.
"Seramai 20 anggota terlibat. Setibanya jentera di lokasi mendapati beberapa pokok tumbang dan menghalang jalan raya serta terdapat sebuah kereta jenis Honda ditimpa pokok tumbang, namun tidak melibat mangsa.
"Bomba bertindak membuka laluan jalan dengan memotong dan mengalihkan pokok- pokok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.