GEORGETOWN - Lelaki yang ditahan pada Sabtu minggu lalu yang dipercayai memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) melibatkan kerugian hampir RM500,000 didapati bergerak sendirian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff berkata, suspek berusia 23 tahun itu juga didapati menggunakan akaun banknya dan akaun bank ibunya untuk menjalankan kegiatannya itu.
"Siasatan mendapati, suspek bergerak sendirian dengan membuat penjualan melalui Facebook dan Instagram yang menggunakan nama 'Gila Gaming 666' untuk menjalankan kegiatannya.
"Setakat ini, suspek terlibat dalam lapan kes di Pulau Pinang dengan anggaran kerugian RM28,000. Dia menggunakan akaun banknya sendiri selain akaun ibunya yang juga seorang peniaga dalam talian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Jelasnya lagi, suspek menjalankan kegiatannya itu sejak dua tahun lalu yang mana sebelum ini dia menjual konsol permainan yang sama, namun edisi yang berlainan namun tiada masalah dikenal pasti.
"Di dalam kumpulan itu, suspek dipercayai memperdaya individu dengan membina reputasi sebagai penjual dipercayai (trusted seller) sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.
"Bagaimanapun, ada juga beberapa pembeli yang sudah mendapat tempahan mereka menyebabkan ramai pembeli mempercayai suspek. Suspek juga mempunyai sijil daftar perniagaan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Ada juga pembeli yang sudah mendapat tempahan sebelum ini dan selepas mereka menambah tempahan lagi dengan membuat bayaran, suspek dipercayai melarikan diri," katanya.
Ujarnya, siasatan mendapati, suspek memperoleh bekalan konsol permainan itu dari pembekal lain sebelum menjual kepada pembelinya.
"Suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan ditahan pada 13 November lalu kini direman di Kedah bagi membantu siasatan untuk kesalahan yang sama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Asmadi berkata, sebanyak 2,494 kes melibatkan jenayah siber antaranya pinjaman tidak wujud, pelaburan ah long direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini (Januari hingga Oktober) di Pulau Pinang.
"Kerugian yang dialami oleh mangsa melibatkan jumlah hampir RM79 juta, dan ia merangkumi 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh negara.
"Kita juga mendapati kes jenayah siber di Pulau Pinang meningkat sehingga 28.2 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu," katanya.