SERDANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditemukan rentung, manakala seorang lagi lelaki cedera dalam kebakaran di sebuah bengkel kenderaan di Bukit Puchong di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai V Kannadasan, 34, ditemui di dalam bilik kecil di tingkat bawah premis tersebut.
"Seorang lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Vincent Phang Chee Wai berusia 50-an selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
"Kita menerima panggilan pada jam 2.26 petang. Seramai 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Serdang dan Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Norazam berkata, kerja-kerja pemadaman bangunan kelas A berkeluasan 6.1 x 21 meter persegi itu sedang dilakukan oleh pihaknya.
"Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.01 petang, dianggarkan kemusnahan bangunan dua tingkat itu 80 peratus," katanya.