YPM sumbang bantuan RM70,000 kepada penuntut UKM

Iklan
Mohd Nizar (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan YPM kepada Prof Datuk Ir Dr Othman A Karim mewakili UKM di Program Semarak Ilmu, Seksyen Pendidikan Tertiari YPM.

SHAH ALAM - Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyumbang bantuan bernilai RM70,000 bagi menampung pembiayaan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kategori asnaf dan B40.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, YPM menyerahkan sumbangan bantuan berupa set barangan makanan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM10,000 kepada 100 pelajar UKM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, YPM juga memberi sumbangan Pendidikan YPM bernilai RM60,000 kepada 15 penuntut UKM melalui Program Semarak Ilmu, Seksyen Pendidikan Tertiari YPM.

"YPM juga memberikan bantuan kepada 100 pelajar B40 di bawah Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) yang terkesan akibat pandemik.

Iklan

"Inisiatif ini adalah kerjasama YPM bersama Maybank Islamic Berhad adalah bagi menampung pembiayaan pelajar dalam kategori asnaf dan B40,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bantuan sumbangan itu diserahkan Mohd Nizar kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UKM, Prof Dato Ir Dr Othman A Karim.

Iklan

Turut serta, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Profesor Madya Dr Roslee Rajikan dan Pengurus Kanan Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria.

Tambahnya, bantuan tersebut diberi dengan kerjasama Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar, UKM.

Dalam pada itu, Mohd Nizar berkata, skim SDEP YPM diwujudkan bagi menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk antaranya bantuan kewangan, barangan keperluan pembelajaran, kelengkapan pengajian dan lain-lain kepada pelajar B40 serta pelajar kurang berkemampuan.

Jelasnya, sehingga Oktober lalu, seramai 1,003 pelajar dari seluruh negara telah menerima manfaat di bawah SDEP dengan jumlah bantuan sebanyak RM373,736.10 termasuk bantuan kepada penuntut UKM itu.