KUALA LUMPUR -"Pilihan raya di Melaka tapi saya pula yang diserang, demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu yang timbul berkaitan kelayakannya mendapatkan tapak tanah seperti dilaporkan media sebelum ini.
Najib berkata, seperti dijelaskan beliau menerusi akaun Facebooknya pada Jumaat, beliau memerhatikan 'skrip' lama kembali digunakan untuk menghasut rakyat membencinya sekali lagi.
"Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda pihak-pihak lawan.
"Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.
"Tiba-tiba sahaja diberi nilai RM100 juta... sedangkan ia tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk dipilih di bawah akta kerajaan, bukan suruh kerajaan belanja untuk beli tanah dan bagi saya," katanya pada sidang media di Hotel LaCrista, Melaka pada Jumaat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau kesal dirinya dan isteri turut dijadikan bahan lawak.
"Saya dan isteri saya dijadikan bahan untuk 'Maharaja Lawak Mega'.
"Gambar edit isteri saya pula dijadikan bahan 'squid game' DAP dan banyak-banyak lagi sedangkan saya bukan pun calon di Melaka atau ada apa-apa jawatan tertinggi dalam UMNO.
"Muka saya pun tak ada dalam poster-poster penuhi seluruh negeri Melaka kenapa pula kena-mengena benci saya dengan PRN Melaka," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan apa yang difikirkan pihak lawan sekiranya rakyat Melaka membencinya.
"Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat sekiranya mereka benci saya?
"Apa yang rakyat Malaysia telah dapat dengan membenci saya selepas PRU14? Cuba kita renung balik...
Ekonomi lepas PRU14 lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung simpanan menaik? Kesejahteraan hidup rakyat bertambah lebih selesa? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik?
Pelaburan asing meningkat? Janji-janji manifesto ditepati? Apa sebenarnya....?,"soalnya.
Najib berkata, jika rakyat tidak selesa beliau memohon kediaman dari kerajaan seperti dibenarkan dalam akta kerajaan, beliau boleh menarik balik permohonan tahun 2018 tersebut.
"Permohonan ini berdasarkan kepada kelayakan dan peruntukan yang ada dalam Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang mana akta tersebut telah diubahsuai, diperbaiki pada tahun 2003 dan semua kemudahan tersebut telah diperolehi oleh bekas-bekas Perdana Menteri sebelum saya.
"Kelayakan untuk saya pun bukan diluluskan lagi...sepatutnya pada tahun 2018 lagi perkara ini diselesaikan.
"Pokoknya bukan saya minta kerajaan sediakan RM100 juta untuk saya. Kerajaan minta saya pilih berdasarkan beberapa option maka saya pilihlah lokasi yang saya rasa paling sesuai untuk keperluan saya dan tanah dipilih pun adalah tanah kerajaan," katanya.
Najib berkata, beliau tidak mahu permohonan tersebut dijadikan isu PRN Melaka.
Katanya, menjadi perkara pelik apabila PRN dilaksanakan di negeri Melaka namun yang kena serang adalah dirinya biarpun bukan calon untuk PRN di negeri itu atau Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Najib pada Jumaat mengumumkan keputusannya menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya seperti dilaporkan sebelum ini.
Menurut bekas Perdana Menteri keenam itu, tindakan tersebut diambil selepas isu peruntukan berkenaan dijadikan modal politik oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut walaupun secara prinsipnya ia berdasarkan kelayakan untuk semua bekas Perdana Menteri
"Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan dengan saat-saat sukar seperti ini keutamaan negara adalah kepada rakyat.
"Memandangkan isu ini telah mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan banyak pihak, saya mencadangkan kepada (YAB) Perdana Menteri untuk melihat semula peruntukan kelayakan ini dan sekiranya perlu menarik semula peruntukan ini untuk semua bekas Perdana Menteri termasuk selepas saya.
"Bagaimanapun untuk bekas Perdana Menteri yang telah menerima kelayakan tersebut, tidak perlu kerajaan menarik balik peruntukan berkenaan," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: Najib tolak tawaran hartanah RM100 juta
ARTIKEL BERKAITAN:Tengku Zafrul sahkan Najib mohon rumah bernilai RM100 juta