Esok hari penentu, politik Melaka diharap tak 'bergegau' lagi

Iklan

MELAKA - Sabtu (20 November) adalah hari penentuan bagi rakyat Melaka yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk memilih wakil rakyat masing-masing dengan harapan kerajaan yang bakal dibentuk dibentuk nanti kukuh dan tidak bergegar lagi seperti nasib pentadbiran yang diterajui Barisan Nasional (BN) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bermula 8 November lepas, masing-masing sudah mengatur strategi berkempen, dalam keadaan yang bukan biasa-biasa bak kata golongan muda, dengan pematuhan norma baharu - tidak ada kempen bersemuka, ceramah, tinjauan mesra dan hanya secara dalam talian, penggunaan media sosial, siar raya dan pengagihan risalah kempen yang dibenarkan.

Iklan
Iklan

Sungguhpun begitu, parti sukar mengukur ukuran sokongan - sebagai contoh satu ceramah secara langsung di aplikasi sosial ataupun laman YouTube boleh mencatat ribuan orang penonton tetapi bukan semestinya mereka adalah pengundi, entah-entah mereka buka alat peranti masing-masing tetapi sedang memasak di dapur atau tidur berdengkur!

Rata-rata parti bertanding menyifatkan perkara ini agak mengekang jentera parti untuk berkempen dan parti terpaksa mematuhinya, sehingga dilaporkan jumlah disaman mencecah ratusan ribu ringgit kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal selain parti berkali-kali juga merayu supaya prosedur operasi standard (SOP) kempen dilonggarkan.

Iklan

SOP ini membuatkan calon-calon bertanding mencari alternatif, ada yang bersarapan tiga hingga empat kali sehari, menghadiri solat jemaah fardu, ceramah agama, kenduri dan lain-lain kerana walaupun SOP kempen yang ketat, namun Melaka sudahpun masuk Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

BN misalnya menggunakan kaedah lebih strategik dengan menelefon sendiri pengundi berdasarkan data-data parti yang dikumpul hasil gerak kerja jentera parti.

Iklan

"Sokongan turun naik tapi semakin baik sejak kebelakangan ini. Kami ada base pengundi putih dan berdasarkan sokongan ia tidak berubah sejak beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan kecuali pada PRU ke-14 yang sedikit berkurangan," kata Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Situasi ini mencatat sejarah kerana inilah buat pertama kali Malaysia terpaksa menghadapi satu pilihan raya sedemikian rupa dalam keadaan negara dilanda pandemik, berbeza dengan PRN Sabah pada September 2020, yang akhirnya mengakibatkan kes Covid-19 mencanak naik.

Namun dari sudut pandang yang lain, SOP ini adalah baik dan pada hari penamaan calon 8 November lepas tidak ada provokasi parti bertanding, jerit-menjerit, membaling batu atau objek, perarakan bakal calon yang diiringi penyokong yang dahulunya pernah menyebabkan seorang penyokong kerajaan dimasukkan ke hospital kerana bertembung dengan penyokong lawan dan pelbagai insiden lain yang tidak diingini.

Berbalik kepada siapa yang bakal menang, penganalisis yang diajukan persoalan banyak yang mengatakan tiada parti atau blok mana yang boleh mendapat kemenangan mutlak atau majoriti mudah, dan ramai juga berpendapat bahawa sesuatu gabungan hanya akan ditentukan selepas pengundian.

Keadaan ini membuatkan parti terpaksa membuka ruang kerjasama bagi mengelakkan satu Dewan Undangan Negeri yang tergantung yang boleh menyebabkan kemelut pentadbiran kerajaan menjadi berpanjangan walaupun pilihan raya telah tamat.

BN yang menyatakan secara terbuka untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak, PN memutuskan untuk kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya dan yang terakhir Timbalan Pengerusi PH, Lim Guan Eng yang menyatakan kerjasama seperti itu akan dibincangkan dengan parti gabungan lain iaitu PKR dan Amanah.

Dalam perang atau pertandingan tidak siapa yang mahu kalah.

Ada parti yang menyatakan keyakinan, namun ada juga yang menyimpan kuku tidak mahu secara berterus terang semasa ditanya.

Sebagai contoh Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi BN, meletakkan sasaran 18 kerusi daripada 20 kerusi dan berpuas hati sekiranya menang 15 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah manakala gabungan Pakatan Harapan menjangkakan sebanyak 12 kerusi, iaitu PKR menjangka memperoleh tiga, DAP (tujuh) dan Amanah (dua)

PN pula sehingga komentar ini ditulis tidak menyatakan berapa kerusi sasaran kemenangan, namun pemerhati politik meletakkan parti gabungan yang baharu sahaja diwujudkan itu untuk menang enam kerusi dan sasaran utama adalah kerusi panas Tanjung Bidara yang ditandingi calon mereka Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri.

Oleh kerana faktor ini juga, calon Bebas tidak boleh diketepikan kerana jika mereka mencatat kemenangan, mereka boleh dipelawa masuk menjadi rakan gabungan membentuk kerajaan, kerana daripada jumlah 22 kerusi yang ditandingi mereka hanya 13 yang menyertai gabungan Bebas - berbaki sembilan orang yang tidak terikat dengan sesiapa.

Pilihan raya ini juga dijangka bakal meneruskan trend tidak ada lagi kemenangan dua pertiga dan selesa selepas bermula pada PRU ke-12 pada 2008 yang menyaksikan BN menang dengan majoriti mudah, walaupun beberapa negeri yang mempunyai penyokong tegar masing-masing seperti Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang membentuk kerajaan negeri.

Apa yang penting sekarang adalah pengundi yang bakal menentukan kemenangan parti - dengan kebimbangan wujud ramai yang tidak mengundi, selain faktor mereka yang tidak mahu mengundi kerana kecewa dengan pemimpin parti yang mencetuskan pergolakan politik dan bukannya kerana rakyat yang mahukan pilihan raya.

Difahamkan juga kemungkinan ramai yang tidak dapat balik mengundi kerana bekerja di negara jiran seperti Singapura, namun ia dapat diatasi sekiranya mereka menunaikan tanggungjawab mengundi secara pos dan selain pengundi yang tinggal jauh dari Melaka di seluruh negara.

Sehubungan itu, ia memberi implikasi kepada kemenangan parti bertanding seperti yang diakui oleh Timbalan Pengerusi PH dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Kepada pengundi, pilihlah calon yang menjamin kestabilan dan kemakmuran negeri seterusnya bangkit dari kelembapan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19

Bak kata Allahyarham Ibrahim Pendek selepas melempar dadu dalam satu babak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok:"Mari, mari, mari. Kita lihat siapa yang kena (menang) !!!” Selamat mengundi. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my